
"ANIQ, di mana kamu nak? Mama dan papa tak putus-putus mencari dari hari pertama kamu hilang. Hujan turun malam tadi, mama tak dapat tidur, pulangkanlah anak saya, walau apa pun keadaannya.”
Begitulah rintihan pilu Nur Faiqah, ibu kepada Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf, kanak-kanak autisme berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Ratau Baru dekat Tamparuli, Sabah sejak Sabtu lalu.
Luahnya melalui hantaran Facebooknya itu lagi, dia dan suaminya sangat merindui anak lelakinya itu dan meminta jasa orang awam untuk mendoakan keselamatan anaknya.
"Minta semua berdoa agar anak saya ditemui dengan segera dalam keadaan selamat. Semoga pencarian hari ini (Selasa) ada petunjuk. ALLAH bantu kami," tulisnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak sampai seminit, 2 beranak trauma disamun geng bersenjata di Jenjarom
Lebih menyayat hati, Aniq bukan seperti kanak-kanak biasa kerana dia menghidap autisme dan tidak mampu bertutur dengan jelas, menjadikan pencariannya lebih mencabar.
Apa yang lebih menyentuh hati ialah sokongan dan simpati luar biasa daripada masyarakat. Ratusan warga maya membanjiri ruangan komen hantaran keluarga Aniq di media sosial dengan doa dan kata-kata semangat.
"Ya ALLAH, lindungilah anak kecil ini. Semoga Aniq kembali ke pangkuan keluarganya dengan selamat," tulis seorang pengguna Facebook, Muhd Adam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki autistik berusia lima tahun bermula seawal pukul 9.00 pagi Selasa.
"Operasi hari ketiga tersebut melibatkan 11 anggota BBP Tuaran bersama pasukan khas dari Unit K9, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta pasukan drone JBPM Sabah.
"Pencarian dijalankan secara intensif dengan pembahagian kepada empat sektor pencarian meliputi kawasan darat dan sungai.
"Pasukan PPDA turut menjalankan pencarian di kawasan sungai menggunakan bot, manakala bantuan anjing pengesan K9 digunakan di kawasan sekitar mangsa dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, operasi pencarian mangsa juga ditumpu di bahagian bawah Jambatan Tamparuli oleh pasukan PPDA Bomba dan Pasukan Polis Marin (PPM).
Turut terbabit dalam operasi ini ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan dron D’Bayu, serta NGO Jalinan Kasih.
Terdahulu, media melaporkan Aniq dikatakan dilihat kali terakhir sekitar pukul 1.30 tengah hari Sabtu sebelum dilaporkan hilang.
Mangsa dipercayai hilang tanpa jejak di kawasan berhampiran rumah keluarganya yang terletak di belakang Pejabat Daerah Tamparuli.
Operasi pencarian yang dijalankan pasukan bomba turut menggunakan unit anjing pengesan K9 selain dibantu penduduk kampung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram