
SEORANG wanita melakukan aksi hati kering apabila dengan selamba menjalankan kegiatan mencuri di sebuah balai bomba di Bagan Ajam, Pulau Pinang pada Ahad.
Kejadian tersebut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di Balai Bomba Sukarela Bagan Ajam.
Menerusi klip terbabit yang dimuat naik di Facebook, Persatuan Bomba Sukarela Bagan Ajam Butterworth Pulau Pinang, wanita terbabit dilihat masuk ke dalam kawasan balai berkenaan dengan menunggang motosikal.
Kemudian, suspek yang memakai topi keledar dan baju berwarna merah didapati berjalan masuk ke bangunan untuk melihat barangan yang boleh dicuri.
Selepas itu keluar semula bagi mengalihkan motosikalnya keluar untuk mengelakkan daripada kehadirannya dikesan.
Kemudian, wanita terbabit seterusnya masuk kembali ke bangunan berkenaan dan mengambil satu beg sandang diletakkan di atas meja di dalam bilik dimasukinya.
Ketika kejadian, seorang individu dilihat sedang tidur di atas sofa yang terletak betul-betul di sebelah meja terbabit.
Difahamkan, beg sandang berkenaan merupakan milik salah seorang anggota di balai itu.
Sebaik mengambil barangan tersebut, wanita berkenaan terus berlari keluar dan meninggalkan lokasi.
Pihak balai memaklumkan laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian berkenaan namun tidak mendedahkan mengenai kerugian ditanggung akibat kecurian yang berlaku.
Dalam pada itu, difahamkan suspek wanita terbabit sudah ditahan polis susulan kejadian tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Persatuan Bomba Sukarela Bagan Ajam Butterworth Pulau Pinang menerusi hantaran terbaharu yang dimuat naik pada Isnin.
"Terima Kasih PDRM suspek wanita sudah ditangkap. Dia bagi tahu polis dia nak pinjam power bank .
"Macam ini cara nak pinjam power bank??? Aduh dik. Benda kalau mintak itu pinjam. Kalau ambil cara macam ini sudah dikira curi bukan pinjam," tulis hantaran berkenaan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden C Tharmalingam mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, kejadian dilaporkan berlaku pada 20 April lalu sekitar pukul 10.20 malam apabila suspek yang menaiki motosikal masuk ke dalam kawasan pejabat Bomba Sukarela, Jalan Pantai Bersih, Bagan Ajam.
"Ketika kejadian, anggota bomba sukarela tersebut sedang tidur dan hanya menyedari beg sandang miliknya telah hilang selepas terjaga.
“Hasil siasatan awal dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek merupakan seorang wanita tempatan yang menaiki motosikal memasuki pejabat berkenaan sebelum melarikan beg sandang milik pengadu.
"Selepas mendapatkan beg berkenaan, wanita terbabit terus bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Jelas beliau lagi, susulan kejadian tersebut, suspek berjaya ditahan pada hari yang sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram