Berhenti kerja demi anak autistik, Autism Cafe Project ruang untuk berdikari, elak dipandang rendah masyarakat


  • Relaks
  • Rabu, 23 Apr 2025

Adli banyak berkorban demi masa depan anaknya yang merupakan seorang autistik

DEMI masa depan anak autistik, seorang bapa sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menubuhkan kafe khas buat golongan tersebut.

Bapa kepada enam cahaya mata, Mohd Adli Yahya, 60, dahulunya berdepan ujian getir apabila dianugerahkan seorang anak lelaki autistik yang diagnosis sejak usia setahun setengah.

Tamparan hebat diterima apabila usia anaknya semakin meningkat dewasa dan masih belum mampu berdikari dari segi pengurusan diri dan pembelajaran sama seperti remaja sebayanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan 'cheat code', pakar tepis tanggapan suntikan epidural hanya untuk wanita lemah

BACA LAGI: Penat dan stres jaga anak? Kajian saintis dedah ada manfaat baik kepada fungsi otak

Hati kecilnya mula berbisik, "Kalau aku dah mati nanti macam mana dengan nasib anak aku."

Mohd Adli sentiasa komited membantu anak-anak autistik di luar sana.

Hari demi hari, rangkap ayat itu semakin kerap terngiang-ngiang pada telinganya, sekali gus mengundang kerisauan terhadap masa depan anak kedua daripada enam beradik itu.

Menguatkan lagi persepsi tersebut, kelas terapi khas dijalani anaknya juga tidak menunjukkan sebarang perubahan, sebaliknya mengambil masa terlampau lama untuk membuahkan hasil.

Bagaikan noktah tiada berpenghujung, Mohd Adli nekad mencari jalan terbaik demi melihat anaknya membesar dalam keadaan normal seperti orang lain.

Pengorbanan bapa

Tanpa rahu-ragu, Mohd Adli mengambil langkah berani meninggalkan kariernya sebagai pegawai strategik pemasaran di sebuah syarikat terkemuka negara sekitar 10 tahun lalu.

"Saya berhenti kerja sebab nak kumpul modal tubuhkan kafe autistik supaya mereka pun ada tempat dalam industri.

"Bermula dengan anak sendiri (Luqman), saya kenal pasti hobinya suka benda yang tersusun, buat benda berulang kali setiap masa. Dari situ terlintas untuk ajar dia skil sensori melalui aktiviti uli kuih dan biskut.

Luqman (kanan) amat meminati bidang bakeri.

"Alhamdulillah, nampak perkembangan sangat positif, dia seronok untuk buat acuan tepung biskut dan susu di dalam bekas. Lalu saya kembangkan kepada kanak-kanak lain pula," katanya kepada Majoriti.

Berkongsi kesukaran dihadapi, beliau terpaksa menjual satu-satunya kereta dimiliki demi mencari modal menjalankan projek dinamakan Autism Cafe Project.

Hobi

Bercerita lanjut soal pemilihan staf kafe tersebut, Mohd Adli menetapkan usia 15 tahun ke atas bagi mengelakkan sebarang isu atau tuduhan kes penderaan kanak-kanak.

Tambahnya, setiap individu yang bekerja di kafe miliknya itu diteliti terlebih dahulu kecenderungan minat dan hobi masing-masing sebelum bertugas.

Tidak terlampau tegas dalam soal pembahagian kerja, keutamaan tertumpu kepada kehendak mereka kerana beliau sentiasa yakin dengan bakat dan anugerah dimiliki anak autistik.

Komitmen kerja di Autism Cafe Project terbahagi kepada beberapa kumpulan dengan peranan berbeza-beza.

Sebagai contoh, anaknya lebih berminat untuk bekerja di bahagian dapur dan arif dalam segala hal berkaitan pembuatan biskut.

Sasaran jangka panjang

Tidak meletakkan sasaran tinggi menggunung, Mohd Adli berharap agar projek istimewa yang dijalankan sejak sembilan tahun lalu itu mampu berkembang ke seluruh pelusuk negeri pada masa akan datang.

Jelasnya, beliau bercadang menambah lebih banyak cawangan di dalam negara terutamanya Sabah dan Sarawak kerana masih ramai anak autistik tiada pekerjaan dan dipandang rendah masyarakat di luar sana.

"Saya cuma harapkan agar orang ramai lebih peka dengan anak-anak autistik, mereka juga perlukan tempat dan ruang untuk berdikari.

"Memang kalau boleh nak tambah lebih banyak kafe autistik supaya lebih ramai berpeluang untuk bekerja.

"Pada masa sama memupuk kesedaran meluas tentang isu autisme," ujarnya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram