Ibu dihalang jumpa anak walau ada perintah mahkamah, pihak ingkar boleh dikenakan hukuman penjara — Peguam Syarie


  • Relaks
  • Jumaat, 25 Apr 2025

Pasangan yang sudah bercerai perlu jelas tentang hak yang ditetapkan mengikut islam.

KES perebutan hak penjagaan anak selepas berlaku perceraian bukanlah sesuatu isu yang baharu.

Namun, kebelakangan ini, satu kes mencetus perhatian ramai melibatkan seorang ibu dihalang bertemu anak kandungnya walaupun terdapat perintah mahkamah yang membenarkan lawatan.

Lebih mengejutkan, wanita tersebut terpaksa datang bersama pihak polis setelah bekas mentua enggan membuka pintu, sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai hak buat wanita terbabit dan tindakan undang-undang boleh diambil.

BACA LAGI: 'Saya sendiri sebagai ibu boleh rasakan', Sesal alunan Siti Nurhaliza singkap penderitaan hilang anak perempuan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sejuk perut ibu mengandung', warganet puji anak kecil bijak berselawat, sifat ibu bapa lain wajar contohi

Muhammad Amirul Akmal (gambar kecil) menjelaskan, tindakan seperti halang ibu berjumpa anak walaupun ada perintah mahkamah boleh dikenakan tindakan komital. Gambar hiasan/Freepik

Mengulas isu tersebut, Peguam Syarie Negeri Selangor merangkap Panel Hakam Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Muhammad Amirul Akmal Ismail berkata, tindakan menghalang pelaksanaan perintah mahkamah adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan perintah pengkomitan.

“Jika pihak suami atau keluarganya gagal mematuhi perintah hak jagaan atau lawatan yang telah ditetapkan oleh mahkamah, bekas isteri boleh memfailkan permohonan perintah komital.

"Sekiranya didapati bersalah, pihak yang ingkar boleh dikenakan hukuman penjara," katanya kepada Majoriti .

Untuk rekod, mengikut Seksyen 151, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, individu yang gagal mematuhi perintah mahkamah boleh dipenjara jika sabit kesalahan.

"Ini termasuklah tindakan melindungi anak atau sengaja mengelak daripada menyerahkan hak rawatan seperti yang telah ditetapkan oleh mahkamah," katanya.

Pasangan bercerai perlu jelas mengenai hak penjagaan anak dan kembali kepada perintah asal mahkamah.

Bekas suami halang atas urusan tertentu?

Amirul berkata, jika pihak lelaki tidak membenarkan bekas isteri berjumpa anak atas alasan gangguan mental atau unsur penderaan, ia harus kembali kepada perintah asal mahkamah.

"Perlu ikut perintah mahkamah yang menetapkan sama ada hak lawatan diberikan di lokasi tertentu atau hanya dibenarkan berjumpa tetapi tidak dibenarkan bermalam," katanya.

Bekas isteri memperoleh hak jagaan tetapi terdapat unsur penderaan atau gangguan mental

Amirul berkata, dalam situasi lain, jika hak jagaan anak telah diperoleh oleh bekas isteri tetapi wujud unsur penderaan atau gangguan mental yang mempengaruhi anak, maka bekas suami boleh memohon untuk mengubah perintah jagaan di mahkamah.

"Permohonan untuk ubah perintah perlu disertakan bukti kukuh seperti rekod kesihatan, laporan perubatan dan laporan polis.

"Sekadar dakwaan lisan tidak akan diterima oleh mahkamah. Dalam Mahkamah Syariah, kita tak boleh hanya cakap-cakap.

"Kena ada bukti fizikal. Kalau dakwa isteri pukul anak, kena ada laporan perubatan yang sah, bukan sekadar laporan polis sahaja," tegas beliau.  Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram