Yanis terima peruntukan awal RM4 juta, fokus bantu kanak-kanak, golongan belia OKU — Anfaal Saari


  • Massa
  • Selasa, 22 Apr 2025

Melalui Yanis, skop bantuan diperluas meliputi semua peringkat umur anak istimewa.

KERAJAAN negeri Selangor mengambil langkah signifikan dalam melindungi kebajikan kanak-kanak dan gologan belia orang kurang upaya (OKU) menerusi penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor (Yanis).

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, sebanyak RM4 juta diperuntukkan pada peringkat awal dan akan diagihkan mengikut dua elemen meliputi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

BACA LAGI:  [VIDEO] Tak kisah 'bersilat' di dapur, Wanna gemar jamu suami makan, rahsia ikat kasih sayang keluarga

BACA LAGI: Fenomena Imane Khelif ubah landskap tinju, lebih ramai gadis di Algeria tak kisah ceburi sukan lasak

Anfaal (dua kanan) ketika menyerahkan replika cek sumbangan RM10,000 kepada wakil daripada lima ibu tunggal terlibat dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights.

“Dengan Yanis, kami tidak hanya menumpukan kepada anak-anak bawah 18 tahun seperti sebelum ini. Skop bantuan kini diperluas untuk merangkumi semua peringkat umur insan istimewa.

"RM1 juta khas untuk perbelanjaan mengurus, manakala 3 juta untuk pembangunan," katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Sambutan Hari Autisme Sedunia anjuran bersama Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Jabatan Anis pada Selasa di Shah Alam.

Yanis merupakan penjenamaan semula kepada Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis) dan kini didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kelulusan kementerian, menjadikan ia sebuah yayasan yang boleh menerima sumbangan awam serta menawarkan pelepasan cukai kepada penyumbang.

Selain itu, program-program sedia ada di bawah Anis seperti saringan awal, intervensi serta permohonan kad OKU akan diteruskan dan bakal diperkukuh di bawah Yanis.

Dalam perkembangan sama, Anfaal turut memaklumkan, bantuan khas Anis yang memperuntukkan jumlah RM500,000 mendapat sambutan yang menggalakkan. 

Beliau menambah, bantuan yang dibuka pada 7 April sehingga 15 April lalu itu melibatkan kos perubatan, kesihatan dan pendidikan khusus untuk anak OKU termasuk yang berada di bawah spektrum autistik.

Dalam majlis sama, kerajaan Selangor turut menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM10,000 kepada lima ibu tunggal yang terlibat dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Setiap seorang daripada mereka menerima bantuan RM2,000 bagi membantu meringankan beban yang ditanggung akibat bencana tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram