
MENJADI satu norma buat masyarakat di Malaysia untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga yang tersayang.
Itulah destinasi yang pastinya dinanti-nantikan buat oleh kebanyakan orang terutamanya yang menetap di kawasan bandar.
Akan tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tinggal di bandar dan lokasi ‘kampung’ yang sedia ada masih berada dalam kawasan moden? Dalam erti kata lain bukan ‘vibe’ kampung tapi suasana beraya di rumah batu.
BACA LAGI: Barisan model Nala peraga koleksi raya sambil 'catwalk' di atas jambatan Silverlakes, Perak
Usah gusar jika anda berada dalam situasi tersebut, hari raya tetap perlu diraikan dengan cara tersendiri walau di mana saja anda berada. Majoriti berkongsi lima aktiviti yang boleh anda lakukan pada minggu pertama raya di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur.
Persiapkan diri bersama pakaian baju Melayu lengkap bersampin dan baju kurung bagi wanita untuk menonton wayang pada hari raya.
Wayang
Mungkin saluran seperti Netflix akan mewarnai suasana raya di rumah dengan pelbagai pilihan cerita, tetapi apa kata rancang perjalanan anda bersama adik beradik atau rakan-rakan untuk meluangkan masa dengan menonton wayang di pawagam berdekatan.
Persiapkan diri dengan cantik dan kemas bersama pakaian baju Melayu lengkap bersampin dan baju kurung bagi wanita untuk menonton wayang.
Percayalah, menerusi pengalaman penulis sendiri, akan timbul satu aura suasana hari raya yang akan menusuk ke dalam diri ketika melangkah masuk ke pawagam untuk menonton filem yang ditayangkan.
Sedang orang lain sibuk beraya, suasana yang berbeza akan anda rasai kerana pengunjung masih tidak ramai (kecuali waktu malam) dan anda diberi kelebihan untuk memilih tempat duduk yang dimahukan.
Orang tidak ramai dan anda boleh menonton bergelak tawa dengan rakan-rakan lain sepuas-puasnya.
Pengacara televisyen, Irfan Ali memakai baju Melayu sambil bermain boling.
Pusat Boling
Kepada mereka yang tidak minat menonton wayang, anda juga boleh juga hadir ke pusat-pusat boling yang ada.
Kebiasaannya, premis hiburan seperti itu akan tutup selama beberapa hari saja menjelang raya. Tetapi jangan terkejut, terdapat sesetengah pusat bowling yang sudah pun buka pada hari raya pertama.
Kebiasaannya lokasi yang buka itu terletak di bandar-bandar utama. Cuma waktu operasinya saja akan sedikit berubah, selalunya akan dibuka selepas waktu tengahari.
Suasana taman tema air yang berbeza akan dirasai jika anda hadir ketika musim perayaan minggu pertama.
Taman Tema Air
Bagi yang belum pernah lagi pernah merasakan suasana minggu pertama hari raya di taman tema air, apa kata kali ini cuba rasakan suasana lokasi yang penuh dengan aktiviti air di taman tema.
Ini kerana anda akan melihat kehadiran pelbagai jenis pengunjung luar negara dan bangsa hadir meluangkan masa memenuhi ruangan taman di sana. Antara lokasi tumpuan yang dijamin akan dipenuhi pengunjung di Kuala Lumpur sudah semestinya, taman tema air Sunway Lagoon.
Tetapi buat makluman, Sunway Lagoon tidak akan beroperasi pada raya pertama bagi menghormati bulan Syawal. Tempat tersebut akan dibuka semula pada raya ke-2 seperti mana yang telah dijadualkan di dalam kalender mereka.
Di hari raya hadirkan diri ke taman-tama rekreasi yang ada untuk anda joging kerana kawasannya sentiasa terbuka kepada awam.
Bersenam dan joging
Kepada yang masih tidak tahu apa yang hendak dilakukan pada raya pertama selepas sahaja solat raya dan menziarahi jiran terdekat, apa kata persiapkan diri untuk bersenam dan joging di taman-taman rekreasi yang ada di sekitar Kuala Lumpur seperti di Bukit Jalil.
Suasananya sedikit lebih tenang memandangkan ramai yang masih beraya. Bukanlah tiada langsung orang yang hadir ketika itu, tetapi jumlahnya tidak seperti sedia kala.
Tangkap gambar dan rakamkan detik raya anda ber'ootd' di tengah bandar metropolitan.
Rakamkan detik-detik indah ber 'ootd' di tengah bandar
Alang-alang sudah beraya di bandar, rakamkan detik-detik indah bersama ‘geng raya bandar’ untuk dijadikan kenangan di banggunan-banggunan ikonik seperti, Menara Kuala Lumpur, Dataran Merdeka dan sebagainya.
Bukannya selalu anda memakai baju raya ber 'ootd' (Outfit of the Day) di tengah-tengah bandarkan? Jadi gunakan peluang tersebut untuk menangkap gambar atau menghasilkan sebuah video untuk dikongsikan di media sosial.
Oleh itu, buat mereka yang tiada kampung atau tidak dapat balik beraya berikutan tuntutan kerja, jangan biarkan saat penting itu berlalu begitu sahaja. Hari raya bukan tentang di mana kita beraya, tetapi macam mana kita hendak meraikannya,jadi walau apa pun yang berlaku raya tetap raya.
Akhir kata, selamat Hari Raya Aidilfitri daripada penulis dan Majoriti maaf zahir dan batin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram