
UMUM mengetahui bahawa kos bersalin di hospital swasta menelan perbelanjaan yang agak tinggi berbanding sektor perubatan awam.
Kelebihan dari segi fasiliti dan servis yang serba lengkap serta kondusif menjadi faktor ramai ibu hamil di luar sana memilih perkhidmatan swasta berbanding kerajaan.
Namun, lain pula ceritanya bagi personaliti media sosial kacukan Jerman-Rusia ini apabila lebih mengutamakan kelengkapan hospitaliti bersalin di negara kelahirannya.
Mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati dari Malaysia, Michelle Maali, 27, sebelum ini pernah menyatakan kelebihan sektor perubatan bersalin di hospital Jerman berbanding Malaysia.
Katanya, kelengkapan insurans yang merangkumi kos kelahiran bayi dan rawatan di hospital swasta merupakan antara faktor utama dia dan pasangannya membuat keputusan tersebut.
"Alasan paling utama adalah kami dekat dengan keluarga bukan sahaja untuk tempoh bersalin tetapi sewaktu berpantang dan saya boleh katakan ia keputusan paling terbaik.
"Kedua, di Jerman semua orang wajib ada insurans dan ia meliputi banyak benda termasuk bil hospital, kalau ada C-section dan sebagainya.
"Kursus antenatal, yoga pranatal dan selepas enam bulan akan dapat kursus penjagaan ibu dan bayi, akan ada bidan yang datang setiap hari bantu ibu bersalin dan semuanya ditanggung insurans," katanya menerusi hantaran di Instagram.
Tambahnya, suasana di Jerman jauh lebih aman dan tenang berbanding Malaysia yang cukup sibuk dengan kesesakan trafik.
"Persekitaran di sini lebih tenang tak ada pencemaran udara, trafik sesak, walaupun mungkin agak bosan sebab terlampau sunyi tapi untuk pasangan yang ada anak mungkin lebih sesuai.
"Lagipun kita bukan nak ke mana sangat pun, cuma bersiar-siar dengan bayi di laluan pejalan kaki jadi ia lebih selesa," ujarnya.
Meraih perkongsian ramai di laman sosial, hantaran video itu kekal menjadi bualan warga maya sehingga ke hari ini ekoran kemudahan sektor perubatan di German yang sangat dikagumi.
Dalam pada itu, pasangan dua sejoli tersebut selamat menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka sekitar Disember tahun lalu dan kini difahamkan menetap sementara di negara tersebut.
Sering berkongsi perkembangan dan aktiviti hariannya di Jerman, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini diraikan dengan cukup meriah walaupun jauh di perantauan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram