
STIGMA 'wanita lemah' sering kali menjadi isu perdebatan antara masyarakat khususnya individu yang telah mendirikan rumah tangga.
Paling kerap berdepan isu itu adalah golongan ibu hamil yang kerap mengalami isu kesihatan dan komplikasi sepanjang hamil lebih-lebih lagi mereka berada fasa trimester ketiga.
Menghitung detik kelahiran cahaya mata, si ibu turut terkena tempias persepsi negatif tersebut ekoran isu suntikan epidural yang menjadi pilihan ramai kebelakangan ini.
Epidural merupakan ubat bius yang disuntik ke ruang tulang belakang bagi mengurangkan kesakitan semasa proses kelahiran.
Memberikan kesan kelegaan sementara, kaedah itu membolehkan si ibu fokus untuk bersalin tanpa dibebani kesakitan yang melampau.
Suntikan epidural bantu memudahkan wanita melalui proses sebelum dan selepas bersalin.
Pun begitu, segelintir pihak berpendapat kaedah itu hanya sekadar 'cheat code' yang berupaya membantu golongan wanita lemah.
Tegas menafikan perkara itu, pakar perubatan wanita, Dr. Raihana Ismail juga Pengasas Ssyarikat Efferty International Sdn. Bhd., menjelaskan ia bukan sekadar perubatan diwujudkan tanpa hala tuju.
Jelasnya, suntikan epidural bukan bermaknan ibu mengandung mengelat dan lari daripada kesakitan, tetapi ia membantu mengurangkan risiko ketika bersalin.
"Tujuannya kurangkan rasa sakit kontraksi dan proses bersalin tapi bukan hilangkan semua rasa, ibu masih sedar, masih meneran, masih alami tekanan cuma tanpa kesakitan melampau yang boleh buat trauma.
"Kenapa ada yang anggap mengelat? Sebab dulu bersalin kena tahan sakit natural sampai menangis berguling baru orang anggap kuat.
"Semua ibu kuat, dengan atau tanpa epidural. Kenapa ada ibu pilih epidural? Untuk elak trauma dan ketakutan melampau semasa bersalin dan bantu kawal tekanan darah bagi ibu berisiko.
"Untuk pastikan ibu boleh rehat, tidur sekejap dan simpan tenaga untuk meneran, kadang atas nasihat doktor, bukan suka-suka minta jadi tolong ya, jangan judge cara seorang ibu bersalin," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Ahad.
Dalam pada itu, menurut laporan media kesihatan antarabangsa berikut merupakan kelebihan dan kekurangan suntikan epidural buat ibu mengandung.
Manfaat suntikan epidural:
1. Mengurangkan kesakitan dengan berkesan
Epidural sangat berkesan untuk melegakan kesakitan semasa bersalin terutama dalam fasa akhir kelahiran.
2. Membantu ibu berehat
Kurang rasa sakit usai bersalin, ibu boleh berehat atau tidur dengan lebih selesa terutama jika proses bersalin mengambil masa yang lama.
3. Membantu fokus ketika meneran
Kurang rasa sakit boleh membantu ibu menumpukan tenaga untuk meneran dengan lebih efektif.
4. Dos boleh dikawal
Dos epidural boleh disesuaikan mengikut keperluan sepanjang proses kelahiran.
5. Bersedia pembedahan kecemasan
Jika ibu perlu menjalani proses bersalin secara pembedahan, si ibu boleh melahirkan tanpa memerlukan bius penuh.
Risiko suntikan epidural:
1. Kesan sampingan sementara
Individu berisiko mengalami tekanan darah rendah, pening, sakit kepala atau gatal selepas suntikan.
2. Mengurangkan kawalan otot
Sesetengah wanita mungkin rasa kebas atau sukar menggerakkan kaki, menjadikan proses meneran lebih mencabar.
3. Melambatkan proses kelahiran
Dalam sesetengah kes, epidural boleh memperlahankan kontraksi dan memanjangkan tempoh bersalin.
4. Bantuan alat kelahiran diperlukan
Individu berkemungkinan tinggi untuk menggunakan vakum atau forseps jika ibu tidak dapat meneran dengan cukup kuat.
5. Risiko komplikasi
Komplikasi seperti kebocoran cecair tulang belakang, jangkitan atau kesakitan belakang yang berpanjangan.
Justeru, suntikan epidural sama sekali tidak mengundang bahaya, bahkan ia berperanan sebagai rawatan khusus untuk memudahkan ibu bersalin.
Pilihan masing-masing, persepsi wanita lemah sewajarnya ditepis oleh setiap masyarakat terutamanya wanita yang menjalani rawatan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram