
MALAYSIA mengetengahkan konsep inovatif dan mampan melalui penyertaan rasmi pada Ekspo Dunia 2025 yang kini sedang berlangsung di Osaka, Jepun.
Mula dilancarkan pada 13 April lalu, ekspo bertaraf dunia yang berlangsung hingga 13 Oktober 2025 itu bertemakan 'Designing Future Society for Our Lives' dan menghimpunkan lebih 150 negara serta organisasi antarabangsa dari serata dunia.
Merupakan salah satu tarikan utama pada ekspo tersebut, Pavilion Malaysia membawa naratif jelas mengenai komitmen negara terhadap pembangunan mapan, inovasi teknologi hijau dan keseimbangan antara kemajuan ekonomi serta kelestarian alam sekitar.
BACA LAGI: Sebanyak 110 unit rumah kedai dan kediaman era 90-an di George Town dijual bermula RM300 juta
Seni bina itu direka bentuk bagi menggambarkan komitmen tinggi Malaysia terhadap tanggungjawab alam sekitar, amalan pertanian mampan ke arah dunia hijau.
Struktur utamanya dibina menggunakan bahan mampan seperti buluh dan kayu tropika yang melambangkan tradisi serta tenunan songket Melayu.
Reka bentuk Pavilion negarajuga menggabungkan teknologi mesra alam seperti sistem pengudaraan semula jadi dan panel solar yang menjadikan ia sebagai sebuah bangunan bercirikan futuristik seiring teknologi semasa.
Selain itu, konsep ruang terbuka ditampilkan membolehkan pengunjung menikmati suasana pavilion dengan lebih selesa dan lancar.
Aliran udara dan cahaya semula jadi menjadi keutamaan sekali gus menjadikan ruang dalaman lebih mesra pengguna dan tidak memerlukan penggunaan tenaga haba yang tinggi.
Merupakan hasil tangan arkitek terkemuka dari Jepun iaitu Kengo Kumar, Pavilion Malaysia merupakan salah satu daripada tiga buah negara termasuk Qatar dan Portugal yang menerima sentuhan kreatif individu berpengaruh tersebut.
Bukan nama asing dalam dunia seni bina kontemporari, individu berusia 70 tahun itu kini diiktiraf sebagai antara arkitek paling berpengaruh peringkat global, dengan ratusan projek seni bina ikonik di seluruh pelosok dunia.
Stadium Nasional Jepun di Tokyo, Odunpazari Modern Museum (Turkiye) dan V&A Dundee Museum (Scotland) merupakan antara projek ternama hasil sentuhan magis beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram