
DALAM sesebuah rumah tangga, keseimbangan peranan antara suami isteri sangat penting bagi memastikan hubungan kekal sihat dan harmoni.
Namun, desakan ekonomi masa kini memaksa golongan isteri menanggung serba sedikit komitmen bil dan yuran sekolah anak yang pada dasarnya merupakan tanggungjawab sang suami.
Situasi itu disifatkan sebagai tidak adil dalam konteks pembahagian peranan rumah tangga apabila segelintir daripada suami di luar sana terlampau selesa dengan keadaan tersebut.
Ramai isteri tanpa disedari telah mengambil alih terlalu banyak tanggungjawab dalam keluarga hinggakan peranan suami sebagai ketua keluarga kian kabur.
Sudah tertulis dalam hukum Islam bahawa suami wajib menyediakan nafkah zahir dan batin buat isteri dan anak-anak termasuklah makanan, tempat tinggal, pakaian dan keperluan asas lain.
Rumah tangga boleh bergolak jika tiada persefahaman dalam pembahagian tugas dan tanggungjawab antara suami isteri. — Gambar hiasan
Menerusi perkongsian di laman Threads, rata-rata golongan wanita kurang bersetuju jika perkara itu dinormalisasikan dalam setiap hubungan suami isteri.
Ia merangkumi komitmen kewangan seperti bil elektrik, air, internet, bahkan bayaran rumah dan kereta sekali pun turut dikategorikan sebagai tanggungan sang suami.
Boleh menyumbang kepada isu perpecahan rumah tangga, si isteri dengan peranan sedemikian akan dianggap sebagai 'ibu' yang sentiasa sedia berkorban demi kepentingan keluarga
"Orang lelaki tak akan pernah hargai perempuan yang berkorban dan menyenangkan, percayalah sebabnya mereka akan nampak kamu macam mak dia, mak yang berkorban untuk anak.
"Jadi kalau nak jadi isteri, learn not to provide so that husband learn to provide walaupun dia akan stres dan marah.
"Lama-lama nanti apabila suami dah biasa, dia akan rasa macam hero dan tolong belajar ucapkan terima kasih setiap kali suami belikan benda kecil seperti barang dapur," kata Suhailiisa.
Sementara itu, Mysara tegas menyatakan tugas isteri sekadar meringankan beban suami tanpa mengambil alih tanggungjawab ketua keluarga.
"Perbelanjaan dapur, yuran sekolah anak, insurans dan lampin anak semua tu jelas tugas lelaki, ALLAH suruh kita senangkan hati suami bukan ambil tanggungjawab mereka," ujarnya.
Justeru, sebahagian besar wanita sebulat suara menolak peranan sedemikian diambil alih oleh si isteri kerana ia mampu menggugat keharmonian dalam rumah tangga.
Ramai berpendapat isteri yang mula membayar segalanya walaupun suami masih berkemampuan, nescaya ia boleh mencetuskan ketidakseimbangan dalam hubungan dan lebih teruk, komitmen itu mungkin akan dianggap sebagai tanggungjawab bersama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram