
SUDAH menjadi kelaziman buat ibu bapa di luar sana menggunakan mesin buai untuk menidurkan anak khususnya bayi yang baru lahir.
Bahkan, segelintir daripadanya sanggup membawa kelengkapan itu ke mana sahaja mereka pergi demi memudahkan urusan dan keselesaan si kecil ketika berada di luar kawasan.
Perkara itu sedikit sebanyak mengundang kesukaran buat ibu bapa yang terpaksa bergantung kepada peralatan tersebut setiap kali mahu mendodoikan anak.
Lebih sukar lagi apabila si bayi sudah terbiasa dengan kaedah itu yang memaksa ia berterusan hingga usia meningkat ke usia kanak-kanak.
Tampil merungkai isu berbangkit, pakar konsultan tangisan dan tidur bayi, Uswatun Hasanah Mohd Habib menjelaskan konsep sebenar buai dan hayunan yang perlu diketahui ibu bapa.
Uswatun Hasanah merupakan pakar dalam bidang tangisan dan tidur bayi. — Instagram
Katanya, kedua-duanya merupakan perkara berbeza namun sering kali disalah erti sebagai kaedah serupa yang akhirnya mengundang masalah.
"Sebenarnya anak kita bukan cari buai, dia cari hayunan. Ada beza tau...cuba saya cabar apabila anak tu dah terlelap, matikan suis buai tengok dia boleh sambung tidur tak? Kalau anak tu perlu buai, confirm dia bangun.
"Buai dah ada tapi apa yang tak ada cuma hayunan. Jadi, bila dekat luar kita tak perlu angkut buaian tapi kita cuma perlu beri hayunan sahaja kepada dia.
"Apa yang kita boleh provide hayunan apabila dekat luar ni? Apa benda yang kita boleh bagi kat dia? Contohnya, anak kita nangis, nak tidur, kita susukan atau kita tenangkan lepas itu kita gendong dia," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Selasa.
Tidak meletakkan sebarang syarat untuk mendodoikan anak, graduan bidang kimia industri dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menjelaskan setiap aktiviti boleh dikategorikan sebagai hayunan buat si bayi.
Memudahkan urusan ibu bapa, kelengkapan buaian elektrik misalnya tidak perlu lagi diangkut dalam but kereta sekiranya mahu bercuti ataupun berada di luar kawasan.
"Kita jalan, gerakkan badan kita, itulah hayunan ataupun dia dah tenang kita letak dalam stroller dan gerakkannya, itu juga hayunan.
"Dalam kereta anak dah diam, tadi menangis, lapar nak tidur, dah beri susu dan letakkan di kerusi bayi, kemudian kereta berjalan, itu pun hayunan.
"Tak perlu dah nak pergi sangkut-sangkut kain batik, bawa mesin buai itu semua bahaya ya, macam-macam teknik hayunan ada," tambahnya.
Terdahulu, Uswatun merupakan rakyat Malaysia pertama yang mendapat pentauliahan dalam dua bidang utama tangisan bayi newborn dari dua institusi berbeza.
Pentauliahan pertamanya adalah pada 2010 dari Dunstan Baby Language Institute yang berpusat di Sydney, Australia.
Pada 2014, dia memperoleh pentauliahan kedua dari The Happiest Baby Education Association yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat yang melengkapkan ilmunya dalam mententeram dan membantu bayi tidur lebih lena. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram