[VIDEO] Jejaka UK disayangi bapa mentua, layan macam anak sendiri bagai menatang minyak yang penuh


  • Relaks
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Tangkap layar hubungan mesra antara pemuda asal UK dan bapa mentuanya yang tular di TikTok.

HUBUNGAN baik sesama keluarga mentua merupakan antara impian paling diingini setiap pasangan yang melangkah ke alam perkahwinan.

Tambahan pula, sukar untuk menidakkan persepsi masyarakat tempatan sering 'disuap' tanggapan negatif khususnya menerusi filem-filem klasik yang memaparkan plot pahit antara menantu dan mentua.

Ibu Mertuaku karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee antara naskhah terawal merungkai isu berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak lupa asal usul walau menetap di Australia, Raja Ilya didik Talita berbahasa, budaya Malaysia

BACA LAGI: Joging hujung minggu, wajib makan bersama kunci kebahagiaan Ella kekalkan hubungan mesra seisi keluarga

Namun, tanggapan sedemikian kian berubah ke arah positif dari semasa ke semasa apabila ramai warga maya berkongsi keindahan berumah tangga di samping keluarga mentua yang penyayang.

Situasi serupa dipaparkan menerusi video dimuat naik pemuda asal United Kingdom (UK) menyifatkan cukup bahagia disayangi bapa mentua. Ibarat peribahasa bagai menatang minyak yang penuh.

Mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya dari Perlis, jejaka tinggi lampai itu mencuri perhatian warga maya menerusi perkongsian rutin hariannya sebagai 'pendatang' baharu di Malaysia.

Dicemburui ramai, pemuda tersebut menjalin hubungan yang sangat baik dengan bapa mentua apabila dilihat banyak meluangkan masa dan berkongsi minat sama sejak berkahwin sekitar Mac lalu.

"Syukur sangat dapat pak mentua sebaik ini, kalau dah tengok bola sekali tu kira lulus dah la," kata Azmin.

"Percaya la kalau bapa mentua dan boleh lepak sekali dan bawa ke mana sahaja dia pergi, ke masjid dan makan maknanya dia memang sayangkan kamu," ujar Irra Wonder.

"Memang tabik kat pak mentua dia sebab tak nilai orang luar dari rupa, nampak macam menantu kesayangan sangat dah tu," tambah Azlin.

Walaupun berbeza asal usul, kedatangan individu yang popular menerusi akaun TikTok Britalaysian itu dilihat sudah mula membiasakan diri dengan budaya dan adat masyarakat Melayu di Malaysia.

Merupakan sambutan Syawal pertama sebagai suami isteri, Hari Raya Aidilfitri tahun ini diraikan dengan cukup meriah di samping keluarga dan sanak-saudara isterinya di Perlis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram