
TAHUN 2025 bermula dengan lebih meriah untuk peminat drama Melayu apabila iQIYI iaitu platform penstriman digital yang semakin dekat di hati penonton memperkenalkan satu ruangan khas dikenali sebagai ‘Drama Onz’.
Tab khas itu bukan sekadar satu kategori baharu tetapi satu langkah iQIYI untuk menjadikan drama tempatan lebih mudah diakses oleh penonton terutamanya generasi muda yang lebih cenderung menonton secara digital.
Menerusi kolaborasi bersama Media Prima dan beberapa produksi terkemuka tanah air seperti MIG Production, Skop Production, Pencil Picture Production dan Zeel Production, iQIYI kini lebih bersedia untuk menyajikan pelbagai pilihan drama Melayu eksklusif sepanjang tahun ini.
KC Li berkata, Drama Onz ialah ruang istimewa untuk peminat setia drama Melayu.
Naib Presiden iQIYI Antarabangsa untuk Asia Pasifik dan MENA, Li Kaichen (KC Li) berkata, minat terhadap drama Melayu telah menunjukkan peningkatan ketara sejak tahun lalu, dengan jumlah tontonan digital melebihi 200 juta.
Melihat potensi itu, iQIYI memperkenalkan Drama Onz iaitu satu ruangan yang direka khas untuk menyatukan drama-drama tempatan dalam satu tempat yang lebih tersusun, mudah dicari dan mesra pengguna.
“Drama Onz ialah ruang istimewa untuk peminat setia drama Melayu.
"Ia menampilkan kandungan berkualiti tinggi, dan kami percaya langkah itu akan terus mengukuhkan hubungan kami dengan penonton tempatan,” katanya.
Apa yang menarik, pelancaran tab itu turut disokong oleh HONOR X9a Tab sebagai penaja utama.
Dengan tagline Stream the Best Drama Experience with HONOR X9a Tab, penonton boleh menikmati kandungan dengan kualiti visual yang lebih baik dan bila-bila masa sahaja.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks and Primeworks Studios, Nini Yusof, kerjasama itu membawa harapan besar untuk menarik lebih ramai penonton muda.
“Konsep Drama Onz yang catchy dan segar itu memang kena dengan cita rasa generasi sekarang.
"Kami harap ia jadi ‘port’ baru untuk mereka melepak sambil layan drama-drama Melayu yang berkualiti,” kata Nini.
Antara judul iQIYI Original yang dijangka mencuri perhatian tahun ini termasuk Mawar Dahlia, Dosa Cinta, Safiira dan Griya yang gabungan kisah cinta, pengorbanan dan konflik emosi yang dekat di hati penonton Malaysia.
Bukan itu sahaja, iQIYI turut menawarkan pelbagai pilihan hiburan antarabangsa seperti C-Drama, Anime dan rancangan realiti, lengkap dengan sarikata yang menjadikan ia satu platform yang mesra pengguna dari pelbagai latar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram