Jangan tuding jari pada gajet atau media sosial, emosi anak dipengaruhi sikap ibu bapa


  • Relaks
  • Rabu, 16 Apr 2025

Sikap anak-anak banyak dipengaruhi golongan ibu bapa yang gagal mengawal kemarahan ketika di rumah. — Gambar hiasan

PERANAN ibu bapa cukup penting dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak bermula dari usia kanak-kanak.

Tidak dinafikan, faktor luaran seperti penggunaan gajet, media sosial dan pengaruh rakan di sekolah antara perkara yang boleh menjejaskan emosi si kecil jika tidak dipantau.

Namun, sedarkah kita bahawa segalanya bermula dari rumah dengan setiap kelakuan dan tingkah laku ibu bapa menjadi contoh terbaik yang mampu mempengaruhi segala-galanya.

BACA LAGI: Ratu Rock, pemuzik legenda Jepun bersatu! Kyoji Yamamoto 'goreng' gitar di konsert 30 tahun Ella USA

BACA LAGI: [VIDEO] Gajet bantu Aafiyah kuasai bahasa Inggeris, Siti Nurhaliza kawal, tetapkan sejam sehari saja

Sering meletakkan kesalahan terhadap dunia luar, perkara itu sewajarnya menjadi cerminan setiap insan bergelar ibu bapa sebelum mula menuding jari.

Emosi kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh sikap ibu bapa di rumah. — Gambar hiasan

Tampil menjelaskan lanjut berkaitan hal itu, Muhammad Kamil Han menerusi hantaran di Facebook pada Isnin berkata, anak-anak tidak sepatutnya dipersalahkan dalam perkara tersebut kerana ia berpunca daripada sikap ditampilkan bermula dari rumah.

"Kalau anak awak degil, kasar, kurang adab, kurang hormat, susah dengar cakap, jangan cepat salahkan dunia luar.

"Jangan terus tuding jari pada kawan-kawan anak, guru sekolah, gajet atau media sosial kerana hakikatnya anak itu adalah cerminan dalaman diri kita sendiri.

"Anak belajar daripada gelombang emosi, cara kita bercakap, cara kita melayan pasangan dan getaran yang kita pancarkan tanpa sedar setiap hari.

"Kalau hati kita penuh tekanan, suara kita selalu meninggi, kita cepat marah, suka menghukum dan tak mampu kendalikan emosi sendiri, maka anak akan menyerap semua itu bukan melalui kata-kata kita, tapi melalui tenaga dan sikap ibu bapa," katanya.

Tambahnya, sifat ego ibu bapa turut menjadi penghalang terbesar yang menyumbang kepada kejatuhan akhlak si kecil.

Enggan mengaku salah dan memperbaiki diri, situasi itu hanya mengundang kerugian buat ibu bapa yang mungkin masih belum timbul kesedarannya.

"Jika hati awak rasa nak menolak, rasa nak bangkang, rasa nak lawan, itu tandanya awak sedang bertuhankan ego.

"Sedang hati yang jujur dan tunduk kepada ALLAH, akan terus mencari jalan memperbaiki diri bukan mencari alasan menyelamatkan imej.

"Nak ubah anak? Ubah diri awak dulu kerana anak-anak tak perlukan ibu ayah yang sempurna, mereka cuma perlukan ibu ayah yang sedang berjuang memperbaiki diri dan mampu mengaku salah," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram