
SEBUT sahaja Ella, lagu Permata Biru, Standing In The Eyes of the World pasti kedengaran di halwa telinga setiap masyarakat Malaysia.
Sinonim dengan gelaran ‘Ratu Rock Malaysia’, pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 59, itu masih lincah dan aktif menghiburkan peminat menerusi karya malar segarnya yang kekal ikonik sehingga ke hari ini.
Biarpun sibuk dengan karier muzik yang diidolakan ramai generasi muda masa kini, penyanyi kelahiran Pulau Pinang itu sentiasa mengutamakan masa bersama keluarganya.
BACA LAGI: Ella hilang mood buat 'show' gara-gara anxiety
BACA LAGI: Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota jawapan teka-teki Ella 'blackout' di Instagram
Tak lekang dek populariti dikecapi seawal pembabitannya pada era 80an, Ella bijak menepis segala gangguan yang boleh menjejaskan hubungan kasih sayang antara dia dan suaminya.
Terbuka untuk berkongsi tip dan prinsip utama dalam mengekalkan kebahagiaan seisi keluarganya, pelakon filem Pemburu Bayang (1993) itu sentiasa berusaha meluangkan masa berkualiti bersama di setiap hujung minggu.
“Rasanya kalau orang kata dah berkeluarga kita kena bahagikan masa juga dengan suami dan anak, apa-apa pun mesti buat bersama, kena ada masa berkualiti, bercuti dan Umrah pun sama-sama.
“Benda ni sangat membantu untuk kita ada keluarga yang sihat dan gembira selalu, hujung minggu tu memang kami joging bersama.
“Kita buat senaman bersama dan paling penting kita sekeluarga makan bersama, itu buatkan lebih rapat dan saling kongsi cerita setiap hari,” katanya kepada Majoriti pada sidang media konsert Ella USA di Saloma Kuala Lumpur pada Selasa.
Ella ketika ditemui pada sesi sidang media yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur pada Selasa.
Terdahulu, Ella dan suaminya, Azhar Ghazali membuat keputusan untuk mengambil seorang anak angkat sebagai peneman dan cahaya mata keluarganya.
Anaknya, Shanome Az Zahra yang kini berusia lapan tahun menjadi satu-satunya permata hati buat kedua pasangan romantis tersebut yang nyata membawa rezeki melimpah luah buat mereka sejak menjaganya pada 2019.
Bakal mengadakan sebuah konsert sempena tiga dekad album Ella USA pada 17 Mei nanti, Ella mengajak peminatnya beramai-ramai hadir pada hari penuh bersejarah itu yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang.
Mendapat sentuhan gitaris legenda Jepun, Kyoji Yamamoto, konsert istimewa itu menjanjikan persembahan memukau penuh bertenaga daripada penyanyi rock tanah air tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram