
PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menekankan betapa pentingnya merakam detik-detik indah bersama keluarga khususnya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Siti atau lebih mesra dikenali sebagai Tokti berkata, setiap momen indah yang dirakam lensa kamera bukan sahaja menjadi kenangan, malah mampu menjadi pengubat rindu apabila berjauhan daripada keluarga.
"Memori inilah yang kita patut simpan dan abadikan. Sebab kadang-kadang, kita tak tahu umur kita panjang sampai mana.
"Tahun ini mungkin ada, tahun depan belum tentu. Jadi, momen seperti ini perlu dirakam dan dijadikan kenangan yang istimewa," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku sewaktu bayi
Momen Tokti bersama keluarga ketika menyambut perayaan Aidilfitri tahun ini.
Bercerita tentang suasana raya tahun ini, Tokti berkongsi detik manis bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan keluarga tercinta.
“Seperti biasa, malam sebelum raya, saya dan keluarga akan siapkan juadah serta menghias meja makan.
"Sebagai seorang isteri, saya mulakan semua persiapan sejak malam raya lagi dan kemudian pagi raya saya dan suami sama-sama pergi solat sunat Aidilfitri," katanya.
Pelantun bersuara lunak yang popular dengan lagu Cindai itu berkata, momen paling bermakna adalah ketika seluruh keluarga berkumpul selepas solat raya, bersalam-salaman dan mengadakan sesi fotografi bersama.
“Waktu itu, anak-anak kecil termasuk Afwa mula berlari ke sana sini, suasana jadi riuh dan meriah.
"Itulah yang menjadikan raya kami lebih bermakna,” kata Tokti yang pernah disenaraikan oleh Forbes.com sebagai antara 100 selebriti paling berpengaruh dalam media sosial peringkat Asia-Pasifik.
Tokti berkata, dengan kecanggihan teknologi masa kini, rakaman gambar atau video bukan lagi sesuatu yang susah, malah menjadi satu cara mudah untuk mengabadikan kenangan indah bersama insan tersayang.
“Jangan lupa untuk rakam momen indah tu. Gambar keluarga waktu raya bukan sekadar tradisi, tapi satu khazanah kenangan yang sangat berharga,” katanya.
Untuk rekod, Tokti bersama Datuk K mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah (lahir pada Jun 2018) dan Muhammad Afwa (lahir pada Ogos 2021) menerusi kaedah rawatan persenyawaan in vitro atau in vitro fertilization (IVF) . — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram