Terap teknologi robotik, 3,000 silibus untuk kanak-kanak autistik, Alrite Autism Centre cipta rekod MBOR


  • Relaks
  • Selasa, 15 Apr 2025

Mishantini (kiri) ketika menerima penghargaan daripada pegawai MBOR, Edwin Yeoh di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SEIRING dengan perkembangan teknologi semasa, kanak-kanak autisme juga tidak ketinggalan daripada kelengkapan sistem pendidikan berteknologi tinggi dan robotik.

Menjadikan ia sebagai salah satu silibus dalam sistem pelajaran, Alrite Autism Centre (Alrite Autism) di USJ, Subang Jaya, Selangor antara terawal mempraktikkan kaedah tersebut.

Pengasasnya, Mishantini Sanderasagran menyediakan perkhidmatan teknologi serba moden dan canggih khas buat kanak-kanak istimewa di pusat terapinya.

BACA LAGI: Menopaus, dimensia, wanita seawal usia 49 tahun antara kumpulan berisiko tinggi

BACA LAGI: Lahir dengan ‘birth mark’ di muka, ibu hidap kencing manis bersyukur dianugerahkan bayi 'ajaib'

"Alrite Autism menyediakan perkhidmatan seiring teknologi canggih buat anak-anak autisme.

"Kami memasukkan elemen robotik, koding, materialiti dan teknologi terbaharu untuk mendukung serta membantu tumbesaran pelajar di sini.

"Bagi menjamin masa depan lebih cerah, setiap kanak-kanak autisme diberi peluang meneroka teknologi baharu supaya kemampuan mereka diuji dengan sebaiknya.

"Maka kami menggunakan Dash Robot sebagai sebahagian daripada silibus kurikulum pelajar," katanya kepada Majoriti.

Tegas menyatakan kepentingan anak-anak autisme diberikan terapi dan pengawasan khas, ia mampu menyelamatkan masa depan mereka apabila dewasa kelak.

Akui rawatan sedemikian memerlukan kos agak tinggi, Mishantini melihat ia sebagai satu keperluan yang perlu diberikan bermula dari peringkat awal.

"Kanak-kanak seperti ini belum bersedia untuk melangkah ke alam persekolahan seperti biasa, mereka memerlukan perhatian dan pengawasan lebih teliti.

"Ia memerlukan kos yang agak berbeza daripada kebiasaan, tetapi sangat membantu mereka dalam tumbesaran seiring usia mereka.

"Saya tak kata mereka tidak boleh dihantar belajar dalam sistem pendidikan sekolah biasa tetapi belum masa yang sesuai," tambahnya.

Suasana pembelajaran yang kondusif dan pembelajaran berasaskan teknologi robotik menjadi keutamaan di Alrite Autism Centre.

Dalam pada itu, Alrite Autism turut mencatat sejarah apabila tersenarai dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) susulan kejayaan memiliki 3,000 silibus pelajaran.

Mencipta sistem pelajaran kreatif dan efektif buat golongan autisme, kejayaan itu menyaksikan pusat terapi tersebut terus mendapat kepercayaan masyarakat sejak kali pertama ditubuhkan 13 tahun lalu.

"Kami sangat berbesar hati atas kejayaan ini, ia merupakan kerjasama dan usaha keras seluruh warga kerja Alrite Autism dalam menjalankan kajian dan silibus terbaik buat pelajar-pelajar kami.

"Semoga lebih banyak kejayaan dan sejarah mampu dikecapi masa akan datang," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram