
SEBUAH lagu tema baharu berjudul Sesal kini mencuri perhatian ramai setelah menjadi nadi emosi kepada filem Telaga Suriram, sebuah karya dramatik yang menyentuh hati dan penuh misteri.
Lagu itu digarap dengan penuh jiwa oleh penulis lirik dan komposer prolifik, Nurzaidi Abd Rahman, yang sebelum ini pernah mencipta lagu tema ikonik filem Ombak Rindu.
Mengangkat tema penderitaan seorang ibu kehilangan anak perempuan secara misteri, Sesal menyelami perasaan mendalam sarat dengan kerinduan, kesedihan dan rasa putus asa.
BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku sewaktu bayi
Nurzaidi berkata, inspirasi lagu itu hadir daripada jalan cerita Telaga Suriram yang menggambarkan penderitaan batin seorang ibu dalam pencarian penuh liku dan dugaan.
Apabila penerbit filem, Osman pertama kali mendengar lagu ini, beliau serta-merta merasakan bahawa Sesal adalah pilihan tepat untuk menjadi lagu tema utama filem tersebut.
“Lagu ini bukan sahaja menangkap emosi cerita, malah memperkuatkan lagi naratif filem dengan lapisan perasaan yang dalam,” ujarnya.
Pihak penerbit juga sepakat bahawa hanya satu nama yang layak menyampaikan lagu ini iaitu tiada lain selain Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Dengan pengalaman dan kepekaan emosinya sebagai ibu, Siti Nurhaliza berjaya menghidupkan lagu itu dengan penuh penghayatan.
“Saya sendiri dapat merasakan peritnya seorang ibu kehilangan anak sewaktu menyampaikan lagu ini,” luahnya yang mesra disapa Tokti ketika ditemui di World Trade Centre Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada Isnin.
Rakaman video muzik lagu Sesal dilakukan di Studio Kayangan, di bawah arahan Shuhaimi Zulkefli dan dibantu oleh penerbit, Wan Farid Wan Abdullah dan Julian Tan yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan penglibatan Siti Nurhaliza dalam projek itu.
Lagu Sesal boleh didengari di semua platform penstriman digital kegemaran manakala video muzik boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram