
BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad dilaporkan meninggal dunia pada Isnin.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4 petang tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat Petaling Jaya, Selangor selepas mengalami strok.
Dalam pada itu, berita mengenai pemergiannya pada usia 75 tahun turut dikongsikan di Facebook rasmi MSN.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
"MSN merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Wira Mazlan Ahmad, Mantan Ketua Pengarah MSN (1 Mac 1993 hingga 23 Ogos 2005).
"Allahyarham memulakan perkhidmatan di MSN sebagai Timbalan Ketua Pengarah pada tahun 1983, dan telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan sukan negara sepanjang perkhidmatannya.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan dihimpunkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," ujar hantaran itu.
Dalam pada itu, pemergian Allahyarham turut ditangisi oleh pemerhati sukan negara.
Wartawan sukan bebas, K Rajan menyifatkan Allahyarham sebagai negarawan yang tidak mementingkan diri sendiri.
"Kegemilangan sukan Malaysia yang masih berjalan ketika ini dibina atas asas yang dibina oleh Datuk Wira Mazlan...
"Takziah kepada keluarga arwah," tulisnya di laman X.
Selain menerajui MSN selama 12 tahun, beliau juga merupakan chef de mission Sukan SEA 2001 dan berkhidmat sebagai pemegang jawatan dengan Persatuan Berbasikal Selangor serta Persatuan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF).
Bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi turut merakamkan ucapan takziah terhadap pemerigan arwah yang disifatkan sebagai pemimpin yang berpengaruh dan terkenal.
"Saya sangat bangga berada di bawah beliau (Mazlan) dan diasuh olehnya. Ia adalah kehilangan sangat menyedihkan.
"Beliau adalah orang yang memilih saya untuk berada dalam MSN, membentuk saya sesuai untuk peranan itu. Saya akan sangat merinduinya.
“Beliau adalah arkitek di sebalik jabatan berprestasi tinggi dalam MSN. Beliau dia mengubah pemikiran semua orang dan memastikan lebih banyak sukan mempunyai pusat latihan,” kata Shapawi seperti dilaporkan The Star.
Mazlan turut merupakan tulang belakang kepada Jaya ‘98, iaitu satu pelan komprehensif dilancarkan lima tahun sebelum itu bagi membolehkan Malaysia mengutip 10 pingat emas sebagai tuan rumah Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
"Mazlan juga memulakan rancangan lain seperti Gemilang 2001, Program 2001 untuk Sukan SEA di Kuala Lumpur, dan beliau juga merupakan chef de mission untuk edisi temasya itu," tambah Shapawi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram