
PERKONGSIAN terbaharu pelakon dan usahawan, Betty Rahmad sekali lagi mencuit hati warga maya apabila menampilkan ibunya, Che Semah atau nama sebenarnya Asmah Mohd Ali kini semakin dikenali kerana gelagat spontan di dapur.
Menerusi satu hantaran video di Instagram milik Betty pada Sabtu lalu, wanita berusia 44 tahun itu berkongsi sesi masakan bersama ibunya yang kali ini menyediakan menu kegemaran, sup ikan merah.
Video berdurasi lebih satu minit itu memaparkan keakraban dua beranak tersebut yang sering membuat pengikut terhibur dengan celoteh bersahaja Che Semah.
BACA LAGI: Menopaus, dimensia, wanita seawal usia 49 tahun antara kumpulan berisiko tinggi
"Kita bertemu lagi dalam masak-masak bersama Che Semah lauk kegemaran saya. Kali ini kami nak masak sup ikan merah," tulisnya dalam ruangan kapsyen.
Menariknya, Che Semah bukan sahaja berkongsi resipi ringkas, malah menyelitkan pesanan buat para penonton tentang kepentingan mengamalkan ayat-ayat suci sebelum memulakan masakan.
“Kena baca Bismillah, baru ada rahmat dan nikmat. Lepas tu selawat. Jangan ikut suka hati,” katanya sambil menunjukkan cara menyediakan bahan seperti halia, biji ketumbar dan lada hitam.
"Saya ambil halia sedikit untuk ambil baunya sahaja. Kemudian biji ketumbar dan sedikit lada hitam," kongsi Che Semah.
Lebih menghiburkan apabila berlaku detik lucu semasa mereka menyediakan bahan masakan.
Betty secara tidak sengaja menganggap biji ketumbar sebagai biji sawi, membuatkan Che Semah segera membetulkannya dengan reaksi bersahaja, namun sangat menghiburkan.
"Biji sawi mana ada orang buat sup," katanya sehingga membuatkan Betty ketawa besar.
Aksi lucu dan reaksi spontan dua beranak itu nyata turut mengundang ketawa kepada warga maya yang menonton.
Rata-rata pengikut meninggalkan komen terhibur dengan gaya masakan Che Semah.
“Adoi kelakar la Mak Semah ni. Terima kasih kerana buat saya ketawa,” tulis @leenyliana.
"Macam kena geletek pula belajar masak sup hari ini," komen @che_loshesayang.
"Kami nak lagi. Walaupun ayat pedas, Mak Semah tetap menghiburkan," @seryjunaidy. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram