Pak Lah berjasa kepada kepimpinan wanita, ubah landskap politik negara


  • Primer
  • Selasa, 15 Apr 2025

Allahyarham Tun Abdullah merupakan sosok penting yang membentuk sayap Puteri Umno ketika mengemudi parti itu dari 2003 hingga 2009.

PEMERGIAN pemimpin negara yang juga merupakan bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Isnin meninggalkan kesan besar buat seluruh rakyat Malaysia.

Meninggal dunia pada usia 85 tahun, berita sedih tersebut dimaklumkan menerusi Instagram oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantunya.

Allahyarham yang lebih mesra digelar Pak Lah sebelum ini difahamkan mengalami demensia sejak beberapa tahun kebelakangan ini selain tidak lagi dapat mengingati nama dan wajah ahli keluarganya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia

BACA LAGI: Jenazah Pak Lah dikebumi di Makam Pahlawan pada Selasa

Mengimbau kembali sejarah dan perjuangan Pak Lah dalam arena politik negara, pemimpin kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu cukup berjasa kepada kepimpinan wanita negara.

Tun Abdullah merupakan bekas Presiden Umno.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan Allahyarham sebagai sosok penting yang membentuk sayap Puteri Umno ketika mentadbir negara.

Malah, Azlina berpendapat, kepimpinan dirinya dalam landskap politik negara juga dikatakan banyak tercetus daripada kepercayaan dan peluang diberikan oleh bekas presiden Umno tersebut.

"Pemergian beliau ini merupakan satu kehilangan yang amat besar buat negara dan begitu mengesankan bagi saya.

"Allahyarham Tun atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah merupakan sosok yang telah memberikan kepercayaan kepada saya sebagai pemimpin wanita muda untuk menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2004 sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri merangkap Presiden Umno.    

"Lebih daripada itu, komitmen, kepercayaan dan peluang yang beliau berikan kepada sayap Puteri Umno sebagai sayap arus perdana parti tentunya telah mengubah lanskap politik negara dan meninggalkan legasi yang pada hari ini, sayap wanita muda merupakan antara sayap terpenting dalam banyak parti-parti politik di Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, Azalina turut merakamkan penghargaan atas kepimpinan Allahyarham yang sangat bersederhana dan tenang sepanjang mentadbir negara.

Mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat, harapannya agar seluruh keluarga Allahyarham juga diberikan kekuatan atas kehilangan besar tersebut.

"Bagi saya sendiri, sikap kepimpinan beliau yang sederhana, sentiasa tenang dan berjiwa besar merupakan antara ciri-ciri seorang pemimpin yang akan diingati buat selama-lamanya.

"Saya berdoa semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Pak Lah dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman dan bertakwa disisi-Nya. Juga saya mendoakan agar keluarga Allahyarham, Tun Jeranne, anak-anak dan seluruh ahli keluarganya diberikan ketabahan serta kekuatan atas kehilangan permata tidak ternilai bagi Malaysia ini," tambahnya.

Untuk rekod, Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sepanjang pentadbirannya, beliau memperkenalkan konsep Islam Hadhari dan menekankan pembangunan modal insan serta integriti dalam pentadbiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram