Pelumba wanita Bangladesh pertama di litar antarabangsa, keberanian Purny Ayman inspirasi kaum hawa


  • Benua
  • Rabu, 16 Apr 2025

Matlamat jangka panjang Purny ialah untuk terus berlumba dan memperkasa sukan permotoran di Bangladesh dalam kalangan untuk wanita. — Instagram/@purny_ayman

APABILA Purny Ayman melintasi garisan penamat di Litar Yas Marina, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), beliau bukan sekadar menamatkan perlumbaan, malah sedang mencipta sejarah.

Purny merupakan wanita Bangladesh pertama yang bertanding dalam acara sukan permotoran antarabangsa, iaitu UAE Time Attack.

Penyertaannya bukan hanya soal kelajuan atau kedudukan, tetapi tentang keberanian, ketabahan dan mewakili wanita dari negaranya dalam bidang yang didominasi oleh lelaki.

BACA LAGI: Pilates, senaman perut 800 kali, jus lemon rahsia 5 selebriti wanita K-Pop kekal langsing

BACA LAGI: 'Ibu lari sehelai sepinggang bersama 4 anak ketika api marak', Ustazah Asma' kagum kecekalan mangsa tragedi Putra Heights

Beliau sudah mula menunjukkan minat dalam bidang automotif sejak kecil lagi. — Instagram/@purny_ayman

Bertanding dalam kategori rear-wheel drive unlimited, Purny memandu kereta Toyota GT86 dan berjaya mendapat tempat keempat, satu pencapaian hebat memandangkan terdapat 35 kereta bersaing dalam lima kelas berbeza, termasuk kenderaan berkuasa tinggi seperti Porsche dan BMW.

Fokusnya bukan untuk menjadi paling laju, tetapi membuktikan bahawa wanita dari Bangladesh juga layak berada dalam dunia sukan permotoran antarabangsa.

Minat sejak kecil

Minat Purny terhadap kereta bermula sejak kecil lagi.

"Saya memang tertarik dengan kereta sejak zaman kanak-kanak. Ayah saya suka tukar-tukar model kereta dan saya selalu rasa ingin tahu," katanya.

Daripada sekadar minat, ia berkembang menjadi cita-cita serius, termasuk kajian sendiri pada waktu malam, latihan secara praktikal dan akhirnya menyertai perlumbaan kompetitif.

Namun, membesar di negara yang terhad daripada segi infrastruktur sukan permotoran, terutama untuk wanita bukanlah sesuatu yang mudah.

Sokongan dan halangan awal

Salah satu individu yang banyak memberi semangat kepadanya ialah tokoh terkenal dalam dunia automotive Bangladesh, Avik Anwar.

"Beliau selalu puji cara saya memandu dan minta saya ambil serius. Itu beri saya keyakinan," jelas Purny.

Pernah merancang untuk berlatih di India, tetapi pandemik COVID-19 memaksa beliau menukar haluan.

Dengan sekatan perjalanan, beliau mula berlatih secara maya menggunakan simulator.

Purny bukti wanita juga boleh berjaya dalam bidang yang didominasi oleh lelaki. — Instagram/@purny_ayman

Latihan maya, impian global

Pada akhir 2024, Purny melabur dalam simulator baharu dan mula menyertai perlumbaan dalam talian anjuran Persatuan Automobil Bangladesh.

Dari situ, kemahiran refleks dan pemahamannya tentang dunia perlumbaan semakin berkembang.

Sebelum perlumbaan di UAE, beliau turut menjalani latihan fizikal di Dubai Autodrome dan Litar Yas Marina bersama jurulatih profesional bagi menyesuaikan diri dari dunia maya ke realiti.

Inspirasi buat wanita lain

Bagi Purny, kejayaan ini bukan miliknya seorang.

"Saya buat ini untuk buktikan bahawa wanita pun boleh berjaya, walaupun bidang ini dikuasai lelaki," ujarnya.

Katanya, ramai pemandu wanita sering dinilai hanya kerana mereka berada di jalan raya, apatah lagi di litar.

Menurutnya, Dubai lebih terbuka dan inklusif, manakala di Eropah, kehadiran wanita dalam sukan ini lebih diterima dan dianggap biasa. 

Matlamat jangka panjang Purny ialah untuk terus berlumba dan membina budaya sukan permotoran di Bangladesh terutama dalam kalangan wanita.

Beliau juga menyifatkan kejayaan ini hanyalah permulaan.

“Saya harap lebih ramai wanita tampil ke depan. Ini baru permulaan," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram