
DIBESARKAN oleh seorang atau kedua-dua ibu bapa yang pekak bukanlah mudah bagi anak-anak yang menghadapi pelbagai cabaran.
Dikenali di peringkat antarabangsa sebagai "Children of Deaf Adults" atau Coda, mereka sering memikul tanggungjawab sebagai jurubahasa untuk ibu-bapa sejak di usia muda lagi.
Sesetengah daripadanya juga menghadapi diskriminikasi dan pengabaian.
Lebih teruk lagi, tidak seperti kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah pekak, mereka juga tidak menerima sebarang sokongan daripada pihak kerajaan.
Terdapat 46,127 individu cacat pendengaran berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2024.
Bagaimanapun nombor Coda tidak dapat dikenalpasti.
BACA LAGI: Pilates, senaman perut 800 kali, jus lemon rahsia 5 selebriti wanita K-Pop kekal langsing
Menurut Lim Yoke Kwan, yang menamatkan pengajian Sarjana dalam keperluan Khas di Universiti Nottingham (Kampus Malaysia), Coda secara umumnya tidak bersuara dan nasib mereka juga tidak dapat diketahui
Penemuannya berdasarkan kajian beliau pada tahun 2013 bertajuk Malaysian Hearing Children born of Deaf Parents: Intercation and relationship in the family.
"Walaupun kebanyakkan kajian memberi tumpuan kepada kanak-kanak pekak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang boleh mendengar, suara dan pengalaman Coda jarang sekali dapat diselidiki," katanya.
Lim yang juga presiden Persatuan Jurubahasa dan Penterjemah Malaysia, menekankan keperluan untuk memberi perhatian dan pengalaman unik Coda dalam masyarakat.
Jessie Lee, 16, menghadapi cabaran untuk berkomunikasi dengan kedua ibu bapanya.
"Sehingga saya berumur 6 tahun, saya tinggal bersama ibu bapa angkat dan hanya kembali kepada ibu bapa saya pada hujung minggu.
"Saya mempunyai seorang abang dan dia juga dibesarkan oleh ibu bapa angkat. Dia juga akan pulang ke rumah pada hujung minggu sewaktu dia masih di sekolah menengah," katanya.
Seperti ibu bapa pekak lain, ibu bapa Jessie juga menghadapi cabaran untuk berkomunikasi bersama gurunya.
"Sebagai anak, hari penyerahan kad laporan adalah hari yang mencabar kerana para guru tidak pasti bagaimana cara untuk berkomunikasi bersama ibu bapanya.
"Ibu bapa saya akan mengesyorkan sebahagian guru untuk menulis di atas kertas apa yang mereka mahu katakan," ujarnya.
Jessie berkata sebahagian guru juga menganggap Coda tidak cenderung ke arah akademik.
"Orang ramai secara amnya membuat tanggapan salah mengenai ibu bapa pekak, yang mana mereka tidak mampu hidup dan belajar seperti orang lain." katanya lagi.
Ibunya, Low Li Lan, 51, yang bekerja di Malaysia Federation of the Deaf, mengajarnya bahasa isyarat.
"Saya selalu menyedari orang ramai merenung kami sekeluarga semasa kami berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat," katanya.
Jessie adalah antara Coda yang memberikan maklum balas mengenai laporan daripada kanak-kanak Malaysia kepada Jawatankuasa Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Oktober 2024.
Laporan yang disediakan oleh Childline Foundation Malaysia telah dihantar oleh wakil kanak-kanak dari Malaysia kepada jawatankuasa di Geneva, Switzerland pada Februari lalu.
"Sewaktu tinjauan dilakukan, ada yang mengatakan mereka malu menjadi Coda. Mereka juga menjauhkan diri dengan Coda yang lain.
"Sesetengah menyembunyikan fakta bahawa ibu bapa mereka adalah orang kurang upaya sementara yang lain tidak mahu belajar bahasa isyarat kerana mereka mungkin menghadapi konflik dalaman mereka sendiri," kata Jessie.
Dia juga menyuarakan bahawa komuniti pekak di Malaysia berkomunikasi menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dan mereka yang boleh bercakap pula mungkin tidak lancar dalam bahasa lain.
Oleh itu, Coda yang tidak mengetahui BIM berkemungkinan tidak berkomunikasi dengan ibu bapa mereka sendiri,katanya.
Bapa kepada Jessie, Lee Swee Hock, kerap memilih untuk tidak berkomunikasi dengan yang lain disebabkan oleh kekangan ini.
Jessie bercita-cita untuk menjadi jurubahasa bahasa isyarat dan memperjuangkan hak kanak-kanak.
Darshen Yin Jin, 16, tidak mempelajari bahasa isyarat kerana dia dibesarkan oleh neneknya di Kedah sementara adik lelakinya, Piishaan Yi Nken,13, boleh berbahasa isyarat memandangkan adiknya itu tinggal bersama ibu bapa mereka yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan.
Ibu mereka, Sally Chong dan juga bapa, Venugopal Krishnan Kumar menyuarakan hasrat agar wujud kelab supaya Coda dapat mempelajari bahasa isyarat serta komuniti ini dapat berkembang dengan sokongan yang lebih lagi.
"Selalunya anak-anak Coda menjadi jurubahasa isyarat untuk ibu bapa dan ini merupakan satu beban buat mereka," kata Chong.
Adik beradik Marcus,14, dan Marco Wong,11, adalah antara Coda yang menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi bersama ibu bapa mereka kerana masih belum fasih berbahasa isyarat.
Datuk dan nenek sebelah ibu sentiasa ada untuk membantu, namun keluarga itu berharap agar pembelajaran BIM dapat diakses dengan lebih mudah.
Ibu bapa, Sherry Kee dan Bernard Wong kebiasaanya berkomunikasi bersama anak-anaknya menerusi tulisan diatas kertas ataupun melalui teks.
Keluarga itu gemar melancong dan menghadiri pelbagai acara namun mereka merasakan lebih mudah jika orang ramai tahu menggunakan bahasa isyarat.
Jurucakap bagi Childline Foundation Malaysia berkata, pandangan 321 anak Coda, berusia sembilan hingga 17 tahun telah dikumpulkan dan akan dihantar sebagai laporan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB).
"Mereka menekankan bahawa mereka tidak dapat memahami beberapa isyarat BIM yang kompleks memandangkan kebanyakkan daripada mereka tidak menghadiri kelas bahasa isyarat yang formal,"katanya.
Beliau turut menambah bahawa datuk nenek atau saudara-mara anak Coda terpaksa menggantikan ibu bapa sebenar mereka ketika hari perjumpaan bersama guru di sekolah.
"Mereka mempunyai pandangan yang bagus tentang keperluan untuk inklusiviti," katanya dengan sebahagian daripada mereka berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia mengetahui bahasa isyarat.
Apabila ditanya apakah yang mereka harapkan daripada Perdana Menteri atau mana-mana pihak berkuasa lakukan, Wong berkata salah seorang daripada mereka menulis: "Tolong jadikan BIM sebagai bahasa isyarat rasmi untuk negara ini." — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram