[VIDEO] Dron buatan China muncul bak matahari, bantu operasi menyelamat mangsa gempa bumi Myanmar


  • Benua
  • Rabu, 16 Apr 2025

Detik-detik cahaya dari dron buatan China muncul seakan-akan matahari untuk membantu usaha menyelamat mangsa gempa.

DALAM situasi gelap gelita akibat gangguan elektrik susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar baru-baru ini, cahaya dari dron buatan China muncul seakan-akan matahari bagi membantu mangsa dan pasukan penyelamat di lapangan.

Teknologi canggih itu bukan sahaja menerangi kawasan bencana tetapi juga menyelamatkan nyawa ketika detik-detik genting berkenaan.

Pada 28 Mac lepas, gempa bumi berukuran 7.9 magnitud menggegarkan beberapa kawasan utama di Myanmar termasuk bandar Mandalay yang mengalami kerosakan teruk. 

BACA LAGI: 'Saya sendiri sebagai ibu dapat rasakan', Sesal alunan Siti Nurhaliza singkap penderitaan hilang anak perempuan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sejuk perut ibu mengandung', warganet puji anak kecil bijak berselawat, sifatkan ibu bapa lain wajar contohi

Banyak bangunan runtuh dan jalan raya terhalang sehingga menyukarkan usaha menyelamat.

Dalam keadaan getir itu, China tampil memberi bantuan segera menerusi pasukan penyelamat yang dilengkapi dengan dron berteknologi tinggi.

Salah satu kisah yang menyentuh hati berlaku pada malam 31 Mac. 

Ketika itu, Pasukan Penyelamat Antarabangsa Palang Merah China menerima laporan mengenai nasib seorang gadis 22 tahun yang tertimbus di bawah runtuhan sebuah pasar raya enam tingkat.

Tanpa lampu jalan dan dalam suasana gelap sepenuhnya, pasukan China segera mengerahkan dron pencahayaan khas untuk menerangi kawasan operasi.

“Ketika dron kami dinyalakan dan menerangi lokasi, ribuan orang awam yang berada di kawasan terbabit untuk turut sama membantu secara sukarela, bersorak dan bertepuk tangan.

"Ia memberi semangat kepada semua untuk meneruskan usaha menyelamat,” kata salah seorang anggota pasukan penyelamat, Shen Tingchong

Teknologi dron yang digunakan bukan sahaja memiliki keupayaan pencahayaan tinggi, malah boleh terbang lama dan beroperasi secara automatik termasuk kembali ke pangkalan untuk menukar bateri secara sendiri.

Dalam suasana kelam dan penuh kecemasan, kehadiran dron itu ibarat matahari buatan yang memberi sinar harapan kepada mereka yang terperangkap.

Di laman X, tindakan China itu mendapat pujian meluas daripada ramai warga maya.

“China guna dron untuk menerangi kegelapan dan bawa semula harapan," tulis XH_Lee.

“Cahaya yang ringkas, tapi impaknya besar dalam menyelamatkan nyawa," tulis Jubean.

“Hebat, China! Tabik hormat kepada pasukan penyelamat yang berani. Semoga kalian selamat dan berjaya," tulis Raf Mohammed. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram