Ibarat tatang bayi, jangan abai tanggungjawab jaga ibu bapa lanjut usia selagi masih bernyawa


  • Relaks
  • Rabu, 16 Apr 2025

Tanggungjawab menjaga ibu bapa merupakan kewajipan perlu dilaksanakan anak-anak. — Gambar hiasan

FITRAH manusia, satu hakikat yang tidak dapat dielakkan ialah usia akan terus meningkat dan tubuh semakin lemah.

Tanpa disedari, ibu bapa yang pernah membesarkan kita bagai menatang minyak penuh, kini memasuki fasa usia emas di mana mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang sama seperti layanan diberikan sewaktu kecil.

Berbeza dengan kanak-kanak, mereka akan semakin menua dengan kudrat dan tenaganya kian merosot di samping kesihatan yang mungkin terjejas dek penyakit kronik.

BACA LAGI: [VIDEO] Trend 'Seribu Tahun TTC' ubati duka, karya Imran Ajmain meruntun hati pasangan menanti zuriat

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan bawa anak keluar 'shopping', mesti pakai bengkung', Nona Roguy kongsi 3 petua tradisional buat ibu berpantang

Perkongsian video dari negara jiran, Indonesia di Twitter (X) pada Selasa menggambarkan situasi tersebut yang jelas mengangkat nilai kasih sayang antara ibu dan anak.

Biarpun terlantar di katil hospital, pemuda berkenaan tidak putus asa mengembalikan semangat ibunya dengan pelbagai cara yang cukup meruntun hati.

Kelihatan seperti melayan kerenah si kecil, perbuatan itu bagaimanapun berhasil mengukir senyuman di bibir ibunya yang dipercayai menghidap penyakit kronik.

 

 

Tular di laman sosial, rata-rata warga maya mengambil iktibar daripada perkongsian tersebut yang disifatkan sebagai tanggungjawab perlu dilaksanan sebagai seorang anak.

"Akan tiba waktunya kita jaga ibu bapa seperti mereka membesarkan kita sewaktu kecil, layan la dengan penuh kasih sayang dan rasa cinta," kata Bapinsk113.

"Sangat menyentuh hati, jangan putus asa, tetap semangat dan jangan sesekali meninggikan suara pada ibu, usaha selagi mampu sampai diberikan kesembuhan," ujar PriyadiDj.

"Bagi yang masih ada ibu bapa, jangan sia-siakan mereka, jaga dan sayangi dengan hati yang ikhlas sampai ke hujung nyawa," tambah OmYai79.

Setiap ibu bapa mengharapkan agar mereka sentiasa disayangi dan dijaga anak-anak hingga ke akhir hayat. — Gambar hiasan

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini pernah menyatakan tugas menjaga dan berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapa adalah kewajipan dan tanggungjawab anak-anak.

Menurut Abu Hurairah yang bermaksud, “Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya. (Hadis Riwayat Muslim)

Maka, setiap insan bergelar anak wajib menjaga ibu bapa hingga ke nafas terakhir mereka kerana ia merupakan anugerah tidak ternilai dari Sang Maha Pencipta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram