
DALAM kehidupan rumah tangga, seorang isteri terutamanya bergelar suri rumah sepenuh masa sering kali diabaikan kebajikannya oleh suami.
Dek terlalu sibuk menguruskan dan memberi keutamaan kepada keperluan anak-anak dan suami, akhirnya untuk diri sendiri terabai begitu sahaja tanpa siapa peduli.
Jika situasi ini berlarutan tanpa dibendung bimbang lama-kelamaan memberikan tekanan mental, sekali gus mempengaruhi kesejahteraan fizikal dan emosi para isteri.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya modal RM150, ibu 3 anak tunjuk skil DIY buat 'wall skirting'
Namun, satu perkara penting yang mungkin boleh menjadi penyelesaian adalah tempoh berehat ataupun 'me time' untuk diri sendiri.
Mungkin ada beranggapan bahawa istilah itu bersifat egois atau tidak bertanggungjawab, namun hakikatnya proses tersebut membantu untuk kesejahteraan golongan suri rumah dan seisi keluarga.
Berehat bukan bermakna isteri melarikan diri daripada tanggungjawab, tetapi satu cara memastikan diri mereka mampu memberikan yang terbaik tanpa mengorbankan diri sendiri.
Seorang penulis di Facebook, Felinna Fattah menjelaskan kepentingan 'me time' buat suri rumah.
'Me time' bukan mengada, tetapi keperluan
Sudah menjadi kelaziman buat suri rumah menyediakan segala keperluan dari segi kebersihan rumah dan menjaga anak-anak tatkala suami bekerja.
Akan tetapi, dalam kesibukan itu isteri sering kali melupakan dirinya sendiri dan akibatnya, boleh mengundang stres dan tekanan otak.
Mungkin ramai beranggapan bahawa 'me time' dimaksudkan adalah rawatan di spa, percutian luar negara dan membeli-belah yang secara luarannya dilihat menelan kos perbelanjaan tinggi.
Namun, konsep sebenar rehat itu apabila isteri hanya mahu menghirup secawan kopi tanpa gangguan dan mendengar lagu kegemaran yang mungkin boleh melepaskan segala tekanan terkumpul.
'Recharge' tenaga untuk sayangi keluarga
Apabila seorang isteri diberikan 'me time', ia secara tidak langsung turut meninggalkan kesan buat seisi keluarganya.
Rehat yang mencukupi mampu membuatkan mereka menjadi lebih bertenaga, bahagia untuk memberikan perhatian lebih buat anak-anak dan suaminya.
Senyuman ikhlas datang dari hati yang tenang itu adalah kunci kebahagiaan sebuah rumah tangga.
Justeru, para suami diseru agar menghargai dan memberi sokongan kepada si isteri dengan cara memberikan sedikit ruang privasi ataupun tempoh rehat pada mereka.
Perlu diingati, ia bukan untuk kepentingan mereka, malah berupaya menjadi penawar dan terapi terbaik buat seisi keluarga yang lebih harmoni.
Percayalah, rumah tangga akan kekal bahagia jika si isteri ceria dan gembira selalu kerana mereka adalah nadi dalam sesebuah keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram