Ramai tak cakna, serendah RM55 jalani ujian saringan kanser di cawangan LPPKN


  • Sihat
  • Khamis, 10 Apr 2025

Penyakit kanser boleh dicegah dengan menjalani ujian saringan di peringkat awal. — Gambar hiasan

KES kanser merupakan penyakit kronik paling ditakuti setiap individu susulan risiko dan kos rawatan mahal perlu ditanggung si pesakit.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hampir 250,000 kes kanser dilaporkan di negara ini dari 2017 hingga 2023 yang menyaksikan peningkatan peratus kematian.

Lima kanser utama ialah payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, dan hati dengan sebanyak 14 peratus kematian direkodkan pada 2023 berbanding 13 peratus pada tahun sebelumnya, menjadikan punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia.

BACA LAGI: Penat dan stres jaga anak? Kajian saintis dedah ada manfaat baik kepada fungsi otak

BACA LAGI: [VIDEO] Turun 16kg dengan berjalan, Uyaina Arshad kongsi tip sihat cara mudah menerusi komuniti #SudahJalanKeBelum

Pun begitu, ramai rakyat tempatan masih tidak cakna bahawa saringan awal bagi mengesan kanser kini boleh dilakukan dengan kos serendah RM55 di cawangan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Orang ramai boleh menjalani ujian saringan awal pencegahan kanser di semua cawangan LPPKN negara.

Hal itu dikongsikan seorang pengguna media sosial farahchelamin di Threads berkaitan pengalamannya menjalani tiga ujian saringan penting iaitu mamogram, ujian HPV DNA dan PAP Smear di LPPKN Putrajaya.

Jelasnya, keseluruhannya hanya menelan kos RM55, jauh lebih murah berbanding kos saringan di klinik swasta yang boleh mencecah tiga kali ganda harga tersebut.

"My family (belah abah) tiga orang meninggal sebab kanser, jadi hari ini saya buat mamogram, HPV DNA, dan PAP Smear.

"Ia hanya RM55 dan saya dapat hadiah lagi daripada LPPKN Putrajaya," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji perkhidmatan mesra diberikan oleh kakitangan LPPKN yang memberi layanan penuh empati bagaikan keluarga sendiri.

Malah, proses saringan itu juga berjalan lancar, mudah dan cepat yang hanya mengambil masa kira-kira 30 minit.

Program saringan awal tersebut merupakan salah satu inisiatif LPPKN untuk menggalakkan kesedaran kesihatan dan pengesanan awal kanser khususnya dalam kalangan wanita.

Dengan kadar kematian akibat kanser yang masih tinggi di Malaysia, pendekatan saringan awal diyakini mampu menjadi langkah pencegahan yang amat berkesan.

Saringan seperti ini bukan sahaja membantu dalam pengesanan awal, malah mampu meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit sekiranya rawatan dimulakan lebih awal.

Orang ramai digalakkan untuk membuat temujanji di cawangan LPPKN berhampiran bagi mendapatkan saringan tersebut.

Kesihatan adalah pelaburan terbaik dan siapa sangka pada harga hanya RM55, ia mungkin mampu menyelamatkan nyawa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram