Lahir dengan ‘birth mark’ di muka, ibu hidap kencing manis bersyukur dianugerahkan bayi 'ajaib'


  • Sihat
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Bayi lahir dengan kesan 'birth mark' dianggap anugerah istimewa oleh segelintir masyarakat. — Gambar hiasan

 

 

SETIAP ibu mengimpikan zuriat yang sihat dan sempurna dari segi sifat dan fizikal.

Tidak dinafikan, perkara itu sememangnya di luar bidang kuasa manusia bahkan ia merupakan takdir yang telah tertulis sejak awal lagi sama seperti soal jodoh dan ajal yang tidak diketahui sesiapa.

Namun, segala persiapan dalam menyambut kelahiran bayi pasti dilakukan dengan rapi oleh pasangan suami isteri sebaik menerima khabar gembira itu.

BACA LAGI: Ramai tak cakna, serendah RM55 jalani ujian saringan kanser di cawangan LPPKN

BACA LAGI: Penat dan stres jaga anak? Kajian saintis dedah ada manfaat baik kepada fungsi otak

Situasi tersebut boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang wanita di laman Threads pada Khamis, yang sama sekali tidak menjangkakan kelahiran cahaya mata ketiganya itu.

Lebih menarik, bayi lelaki yang dinamakan Wan Dilan Hilman itu dilahirkan dengan kesan tanda lahir di bahagian muka.

Menyifatkan ia sebagai kejadian ajaib, kelahiran bayi comel itu mengundang 1,001 komen positif warga maya yang memuji keistimewaan dimiliki walaupun sedikit berbeza daripada yang lain.

 

 

Pun begitu, Dalilah Ismailuddin turut berkongsi kisah awal yang mana dia pada mulanya berasa sedikit trauma dengan kelahiran terbabit kerana menghidap penyakit kencing manis.

Terlintas di fikirannya untuk menggugurkan kandungannya pada peringkat awal kehamilan kerana terlampau risau akan risiko kesihatan.

Meskipun demikian, tanggapan itu berjaya diatasi selepas diberikan penjelasan lanjut daripada doktor pakar.

Memasuki minggu ke-21 kandungan, Dalilah mula menyedari betapa bayinya cukup istimewa apabila usaha doktor untuk merakamkan imej gagal ketika menjalani ujian 'detail scan'.

"Aku kena buat detail scan apabila kandungan masuk 21 minggu bagi menentukan bayi sihat dan tak ada masalah, jadi masa inilah aku dah mula rasa bayi aku miracle.

"Sepanjang scan tu Dilan (panggilan Wan Dilan) menonggeng je langsung tak tunjuk muka tapi doktor dapat periksa keadaan dia yang mana semua okay.

"Aku pun anggap dia nak buat surprise untuk mommy agaknya, dalam hati aku selalu cakap apa pun ALLAH nak bagi kali ni aku terima," katanya.

Hari yang dinanti telah pun tiba, kelahiran Dilan di hospital disambut dengan senyuman mesra daripada suami dan doktor yang bertugas di wad.

"Oh bayi ni ada tanda lahir dekat muka," ujar doktor.

Tidak cepat melatah, Dalilah bersyukur kerana segala proses kelahirannya selamat dan menganggap cahaya matanya itu sebagai augerah ajaib utusan dari ALLAH untuk dijaga dengan sebaiknya.

Menurut laporan media tempatan, tanda lahir didefinisikan sebagai lesi menyerupai ruam ataupun kongenital, iaitu lesi kulit yang ada ketika dilahirkan dan timbul pada bulan pertama selepas kelahiran.

Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Islam Az-Zahrah Datin Dr Asmah Johar dipetik berkata, kebanyakan tanda lahir bukan dianggap sebagai kecacatan kerana ia tidak mengganggu fungsi tubuh.

Namun, ia mungkin diklasifikasikan sebagai petanda sesuatu penyakit apabila ada lesi baharu tumbuh pada kulit selepas beberapa tahun atau ketika dewasa selain membabitkan organ badan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram