‘Mama tak pernah sebahagia ini’, Ismail Izzani syukur bapa tiri penyayang, cucu pun suka tok abah


  • Relaks
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Ismail Izzani gembira melihat ibunya bahagia di samping suami tercinta usai perkahwinan kali keduanya.

SAYA tak pernah tengok mama sebahagia ini”. Demikian ungkapan digambarkan penyanyi , Ismail Izzani, 25, terhadap ibu tercintanya yang baru mendirikan rumah tangga buat kali kedua sekitar Disember tahun lalu.

Merupakan momen manis yang sudah lama dinantikan, Ismail memanjat rasa syukur atas kehadiran bapa tirinya disifatkan cukup penyayang dan sempurna sebagai ketua keluarga.

Ditambah pula dengan kemeriahan Syawal kali pertama bersama suami, ibunya yang juga merupakan penyanyi era 80an, Suliza Salam, 59, nyata sangat berbeza daripada tahun sebelumnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Nikmati hidangan mi kari laksa, Hyo-yeon SNSD kongsi pengalaman jalan-jalan pusing KK, Pasar Seni

BACA LAGI: Penat dan stres jaga anak? Kajian saintis dedah ada manfaat baik kepada fungsi otak

“Meriah tahun ini, versi mama yang saya nak sangat lihat dari dulu lagi. Mama layak untuk rasa gembira dan bahagia, cara babah (bapa tiri) melayan mama sangat baik bagi saya.

“Saya tak minta lain melainkan babah jaga mama seumur hidup, anak-anak lain pun semua seronok tahun ni dapat berkumpul sekeluarga dan beraya di Johor Bahru, Johor kampung mama.

“Tiga hari sangat meriah macam-macam aktiviti kami buat, mama pun ada bisik zahirkan lama tak rasa macam ni, syukur sangat mama seronok dan bahagia semula,” ujarnya kepada Majoriti.

Suliza (dua dari kanan) pada majlis pernikahan bersama suaminya sekitar Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, pelantun lagu Luar Biasa itu turut meluahkan rasa gembira apabila seluruh ahli keluarganya cukup mesra dengan bapa tirinya.

Walaupun merupakan baru hadir dalam keluarga, ia sama sekali tidak menghalang mereka meluangkan masa bersama, bahkan satu-satunya cucu kesayangan ibu beliau kini cukup rapat dengan bapa tiri.

“Cucu mama sangat rapat dengan babah, mak ayah dia sendiri pun pelik kenapa suka sangat dengan tok abah, itu menunjukkan kami sekeluarga serasi.

“Apabila ada babah saya banyak belajar benda baharu daripadanya, nak jaga mama sebaik mungkin dan ada adik tiri pula lagi, terasa satu tanggungjawab sebagai anak itu lagi kuat.

“Sekarang banyak lagi nak belajar daripada babah, nak jadi versi saya yang lebih baik sebelum ni mungkin nakal jadi sekarang nak ke arah lebih baik yang sesuai dengan keluarga saya sekarang,” tambahnya.

Terdahulu, Suliza mendirikan perkahwinan dengan seorang ahli perniagaan, Ismail A Ahmad di kediamannya dekat Bukit Kiara, Kuala Lumpur sekitar Disember lalu.

Suliza yang popular dengan lagu Untuk Sekali Lagi itu berkata, keputusan kembali mendirikan rumah tangga timbul selepas melihat kesungguhan suami memenangi hatinya.

Sebelum ini, Suliza pernah berkahwin dengan ahli perniagaan Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pada 11 Januari 1991, namun hubungan itu tidak berkekalan.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Nurizzati, Nur Falahi dan Ismail Izzani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram