'Tidur cukup, makan okey tetapi tak bermaya', ramai wanita di Malaysia rupanya kurang terdedah cahaya matahari


  • Sihat
  • Khamis, 10 Apr 2025

Vitamin D penting untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan seseorang terutama wanita. — Gambar hiasan

SEMAKIN ramai wanita di Malaysia dilaporkan mengalami keletihan berpanjangan, rasa tidak bermaya, kemurungan, keguguran rambut serta sakit belakang yang berterusan meskipun menitikberatkan kesihatan tubuh. 

Menurut satu hantaran yang dikongsi oleh Public Health Malaysia di laman Facebook, dianggarkan 60 hingga 70 peratus wanita di negara ini mengalami kekurangan vitamin D. 

Fakta itu mengejutkan memandangkan Malaysia merupakan negara yang menerima cahaya matahari sepanjang tahun.

"Tetapi kerana gaya hidup moden yang banyak melibatkan kerja di dalam bangunan, pemakaian yang bertutup sepenuhnya serta kurangnya aktiviti di luar rumah menyebabkan tubuh tidak dapat menyerap cahaya matahari yang diperlukan," katanya. 

Keadaan itu menyukarkan penghasilan vitamin D secara semula jadi melalui kulit.

Ini kerana, Vitamin D memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Ia membantu penyerapan kalsium, menguatkan sistem imun, menyokong kesihatan mental serta penting untuk fungsi otot dan saraf.

Kekurangan vitamin itu boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk keletihan kronik, kemurungan, sakit otot serta keguguran rambut yang ketara.

Oleh itu, Public Health Malaysia menggesa masyarakat khususnya wanita agar memberi ruang kepada diri sendiri untuk menjaga kesihatan. 

"Luangkan masa di luar rumah khususnya pada waktu pagi dan dedahkan kulit kepada cahaya matahari selama beberapa minit.

"Cahaya matahari mungkin tidak mampu mengubah segala-galanya, namun ia boleh menjadi permulaan kepada pemulihan dan kesejahteraan yang lebih baik secara beransur-ansur," tambahnya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram