
SEBUAH video tular memaparkan seorang wanita warga emas terbaring kesakitan di atas bangku konkrit di Kota Marudu dekat Kudat, Sabah dengan anak-anaknya menjadi buah mulut dalam kalangan warga maya pada Jumaat.
Manakan tidak, melalui perkongsian di laman media sosial dan WhatsApp itu mendakwa warga emas itu tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan walaupun keadaannya tidak sihat.
Insiden malang itu turut mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai prosedur hospital dan mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Suspek, mangsa kes tetak di Johor Bahru saling tak mengenali, gaduh mulut jadi punca amukan
Melalui video yang dikongsi secara meluas itu turut menampilkan suara seorang lelaki yang mendakwa Hospital Kota Marudu enggan merawat wanita berkenaan, dengan alasan hanya pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan rawatan.
Menurutnya, wanita itu berada dalam keadaan kritikal, dan dia meluahkan rasa kecewa terhadap prosedur operasi standard (SOP) hospital.
Lelaki tersebut, dipercayai orang awam, mengeluh kerana tidak dapat berbuat apa-apa dan mempersoalkan SOP hospital.
Video itu sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai cabaran yang dihadapi pesakit dalam mendapatkan rawatan segera di daerah tersebut.
Namun, Ahli Parlimen Kota Marudu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda menegaskan bahawa hospital telah mengikut SOP yang ditetapkan.
"Menurut pengarah hospital, pesakit warga emas tersebut berjumpa pembantu perubatan tetapi masih perlu berunding dengan doktor," katanya.
Wanita itu diminta mengambil nombor giliran dan menunggu gilirannya, namun anak-anaknya, yang mungkin tidak mengetahui prosedur tersebut, memilih untuk membawanya ke klinik swasta.
"Secara adilnya, Hospital Kota Marudu berdepan kekurangan doktor. Saya akan mendesak Kementerian Kesihatan untuk menambah bilangan petugas perubatan bagi mempercepatkan rawatan pesakit luar dan kes kecemasan," kata Wetrom sambil mengakui tekanan yang dihadapi sistem kesihatan daerah itu.
Beliau turut menyatakan bahawa isu tersebut akan dibangkitkan dalam ucapan perbahasannya di Parlimen minggu hadapan.
Sementara itu, Menteri Pembantu Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding, menjelaskan bahawa video tersebut bukan kejadian baharu tetapi telah berulang kali dikongsi dalam talian.
"Kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu lalu dan telah pun diselesaikan. Namun, video itu terus disebarkan. Saya dimaklumkan bahawa anak-anak wanita berkenaan juga meminta agar ia tidak lagi dikongsi.
"Saya menggesa netizen supaya menghentikan penyebaran video tersebut," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram