
POLIS sudah mengenal pasti identiti suspek kes wanita yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur dekat di Kuantan, Pahang pada Khamis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya kini giat mengesan lelaki berusia 37 tahun yang menetap di sekitar Kuantan itu bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan tidak mempunyai hubungan dengan mangsa yang sudah berkahwin selain ibu kepada seorang anak lelaki.
BACA LAGI: [VIDEO] Suspek, mangsa kes tetak di Johor Bahru saling tak mengenali, gaduh mulut jadi punca amukan
"Suspek didapati pernah membuat pesanan makanan dengan mangsa dan bertemu di lokasi kejadian.
"Siasatan turut mendapati barang kemas mangsa, Norshamira Zainal hilang selain terdapat kesan kecederaan di badan mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," memetik laporan media.
Yahaya memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.
Terdahulu, media melaporkan, niat seorang wanita untuk menghantar makanan kepada pelanggan bertukar menjadi tragedi selepas dia dipercayai dibunuh di Kuantan, Pahang.
Ketua Polis Kuantan, Asistan Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat tersebut pada Khamis sekitar 12.45 tengah hari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram