![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/11/3161870.png)
SEORANG lelaki yang dikenali sebagai Man Tiger, 32, direman tujuh hari selepas didakwa melepaskan enam das tembakan terhadap sepasang suami isteri di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam dekat Kluang, Johor pada Isnin.
Ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat petang Selasa, suspek sempat meluahkan kata-kata "Sudah-sudahlah" apabila wajahnya dirakam media.
Memetik laporan Buletin Tv3, Majistret Mustaqim Sukarno membenarkan perintah reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat).
BACA LAGI : Ajal belum tertulis, suami isteri terselamat cubaan bunuh, 6 das tembakan dekat rumah di Simpang Renggam
BACA LAGI : [VIDEO] Leka jawab panggilan telefon ketika bertugas, pekerja kilang di Pakistan maut 'ditelan' mesin kertas
Terdahulu, Majoriti melaporkan pasangan suami isteri berselisih maut apabila berjaya menyelamatkan diri daripada cubaan bunuh di kediaman mereka di Kampung Bukit Batu Machap pada Isnin.
Ketika kejadian, salah seorang suspek melepaskan enam das tembakan di hadapan rumah pasangan suami isteri tersebut.
Enam das tembakan dilepaskan namun ajal belum tertulis menyebabkan pasangan suami isteri terselamat daripada cubaan bunuh di kediaman mereka di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam pada Isnin. — Gambar/ WhatsApp Orang Awam
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pasangan itu bernasib baik kerana peluru dilepaskan tidak mengenai mereka dan tersasar ke sekitar lokasi kejadian.
Jelas Bahrin lagi, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis berjaya menahan seorang daripada suspek yang mempunyai 27 kes jenayah lampau dikenali sebagai Man Tiger.
Polis menahan suspek di Tepi Jalan Setia 1, Pusat Setia Perdagangan, Simpang Renggam dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
Malah, semakan polis juga mendapati suspek memiliki 27 kes rekod lampau dan pada masa sama, polis turut mengesan tujuh lagi suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram