
PEMAKANAN ketika musim perayaan sememangnya sukar dikawal kerana terdapat pelbagai jenis juadah disediakan, namun adalah penting bagi penghidap diabetes supaya kekal berdisiplin dan mengawal jumlah pengambilan.
Pakar endokrinologi dan perunding kesihatan am, Dr Lim Chong Wei dari Pusat Perubatan Sunway (SMC) berkata, tempoh perayaan menyaksikan peningkatan ketara jumlah kemasukan pesakit darah tinggi ke jabatan kecemasan.
Jelasnya, juadah disediakan ketika tempoh itu sememangnya menarik, namun perlu dikawal pengambilannya dalam kalangan penghidap diabetes kerana ada risiko kenaikan kandungan gula dalam darah.
BACA LAGI: Makan 'dark chocolate' 5 kali seminggu boleh bantu kurangkan risiko diabetes
BACA LAGI: Kenakan cukai minuman bergula dapat cegah obesiti dan diabetes — Penyelidik
Chong Wei menyenaraikan beberapa tip kesihatan bagi penghidap diabetes. — Agensi
"Sekiranya tidak dikawal, ia akan mengakibatkan hiperglisemia (tahap glukosa tinggi dalam darah) sehingga boleh menyebabkan kesan buruk terhadap diri seperti ketoasidosis diabetik.
"Cara terbaik untuk mengelakkannya adalah dengan mengawal jumlah pengambilan makanan. Sebagai langkah permulaan, makanlah seperti biasa tetapi elakkan mengambil snek berlebihan," katanya.
Chong Wei berkata, pesakit perlu makan lebih banyak protein dan sayur-sayuran selain mengurangkan pengambilan makanan manis di samping memerhatikan tahap gula dalam darah sebelum dan selepas setiap hidangan.
Di samping itu, penghidap darah tinggi juga diingatkan supaya memberi perhatian terhadap simptom seperti berpeluh, pandangan kabur dan perasaan berdebar-debar.
Menurut petugas perubatan itu, sekiranya terdapat penurunan ketara kandungan gula dalam darah, pesakit perlu mengambil minuman bergula seperti jus oren atau gula-gula.
Makanan ketika musim perayaan akan meningkatkan tahap gula dalam darah. — Agensi
Bagaimanapun, sekiranya terdapat lonjakan secara tiba-tiba, mereka perlu mengambil suntikan insulin tambahan atau ubat-ubatan yang ditetapkan doktor.
Tambah Chong Wei lagi, penghidap penyakit tersebut berdepan cabaran untuk pulang ke kampung halaman kerana perjalanan jauh akan menyebabkan tekanan darah tinggi.
"Nasihat saya adalah untuk memastikan snek sihat dan alatan perubatan tersedia andai kata terdapat risiko hipoglisemia ketika penerbangan atau semasa dalam perjalanan," katanya.
Jelas doktor itu lagi, pengawalan hormon juga penting sepanjang musim perayaan kerana peningkatan hormon tekanan, kortisol boleh meningkat jika tidak dikawal.
Salah satu cara terbaik untuk mengelakkan situasi itu berlaku adalah dengan menetapkan tempoh pengambilan makanan selain mendapatkan waktu tidur yang mencukupi.
"Jangan tidur lewat ketika musim keraian. Rancanglah lebih awal untuk waktu memasak dan berkumpul bagi memastikan tahap stres tidak meningkat disebabkan persiapan minit akhir.
"Pesakit juga dinasihatkan untuk beriadah atau sekurang-kurangnya berjalan jauh walaupun di dalam pusat membeli-belah selepas menikmati juadah besar-besaran," katanya. — The Star/GRACE CHEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram