90 peratus produk madu di pasaran dilaporkan tiruan, cabaran usahawan tempatan kekalkan keaslian madu lokal


  • Bizz
  • Selasa, 14 Jan 2025

Gambar kiri: Nur Haizan (kanan) merupakan antara pengedar madu asli tempatan. di dalam negara.

DI Malaysia, madu sememangnya mendapat permintaan cukup tinggi dalam kalangan masyarakat.

Perkara itu disumbang antara lain oleh kerana kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pengambilan makanan semula jadi tersebut yang dipercayai mengandungi bahan penyembuh pelbagai penyakit.

Namun, permintaan yang tinggi terbabit turut menyaksikan ramai pihak mengambil kesempatan apabila berlakunya lambakan jualan madu tiruan di pasaran.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Dilaporkan, 90 peratus daripada produk madu yang berada di pasaran dikatakan madu tiruan.

Menurut pengkaji kitab perubatan Melayu dan Orang Asli, Dr Bazrul Bahaman, kaedah penghasilan madu palsu yang semakin canggih menyukarkan orang awam membezakan madu asli berbanding madu tiruan.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang berkaitan madu menjelaskan bahawa kecuali aromanya, hampir kesemua ciri terdapat pada madu asli dapat ditiru. Namun, hanya golongan tertentu dapat mengenal pasti ia adalah aroma sebenar.

6062364102744981679

Dilaporkan, 90 peratus daripada produk madu yang berada di pasaran adalah merupakan madu tiruan. — Gambar hiasan

“Madu palsu dihasilkan di makmal secara besar-besaran juga diimport dari China dan ada madu asli yang dicampur dengan palsu. Tip untuk membeli madu asli itu ada, tetapi apabila cakap hari ini, esok mereka hasilkan yang palsu .

“Contohnya sebelum ini tip membeli madu yang ada keladak pada bahagian atas. Sekarang madu palsu pun ada keladak di atas apabila mereka menggunakan telur sebagai asas untuk hasilkan keladak berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai khasiat antara madu tualang dengan madu kelulut, Pensyarah Kanan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, madu tualang lebih berkhasiat kerana lebah tualang mendapatkan bunga-bunga hutan dan pokok-pokok tinggi.

“Berdasarkan testimoni diperoleh, 70 peratus masalah kesihatan diatasi dengan bantuan mengamalkan madu tualang. Lebah tualang mampu mencari meta bunga sejauh 10 kilometer (km) dengan ketinggian 400 meter (m).

“Kebiasaannya harga madu tualang asli hutan liar sangat mahal berikutan untuk mendapatkannya pemanjat perlu menempuh perjalanan hingga 40 kilometer (km) di dalam hutan. Selain itu, mereka harus berdepan jutaan ekor lebah berbisa dengan memakai pakaian tebal di atas pokok tualang setinggi 70m,” katanya.

Pemanjat tualang dalam pada itu menasihatkan orang ramai seandainya tidak yakin membeli madu tualang di pasaran, mereka boleh membeli secara terus dengan penternak kelulut. Ini kerana pengguna dapat melihat proses madu itu dihasilkan di depan mata.

“Madu asli boleh jadi ‘ubat’, tetapi madu juga boleh menjadi racun sekiranya ia palsu. Pengambilan madu palsu berisiko menyebabkan diabetes.

“Ia bukan perkara baharu apabila seseorang mengamalkan madu untuk kesihatan, namun akhirnya menghidap pelbagai jenis penyakit akibat kandungan gula tinggi dalam penghasilan madu tiruan,” jelas Bazrul.

Each stingless bee hive can produce up to a kilogram of honey every month.

Permintaan madu di pasaran tempatan adalah tinggi, namun dari sudut penawaran madu asli terhad kerana kesukaran mendapatkannya. — Gambar hiasan

Keaslian

Sementara itu, Pengarah Urusan Natural Living Oasis (M) Sdn Bhd, Nur Hazian Ghazali berkata, di sebalik lambakan madu palsu di pasaran, ia tidak menjejaskan pengeluaran produk madu asli di syarikat beliau yang dipasarkan menerusi jenama BeeBudz.

Nur Hazian mengakui permintaan terhadap madu di pasaran tempatan adalah tinggi, namun dari sudut penawaran madu asli terhad kerana kesukaran untuk mendapatkannya.

“Ramai inginkan madu untuk kesihatan, apabila permintaan tinggi madu asli tidak banyak, maka muncul produk tiruan. Selain faktor harga yang mahal telah mendorong kewujudan madu tiruan dijual pada harga murah.

“Jika tanya saya adakah madu asli mencukupi atau tidak, memang tidak tetapi kemasukan madu tiruan mengimbangi permintaan itu,” katanya yang memaklumkan hanya ujian makmal mampu membuktikan keaslian sesuatu madu.

308080694_10161881836768368_3176999157519165074_n

Nur Hazian melayani pengunjung di reruai produk jualan madunya. — Facebook/HazianGhazali

Mengulas lanjut, Nur Hazian yang juga peguam memaklumkan di Malaysia, hanya terdapat tujuh pembekal madu diperakui keasliannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Daripada tujuh ini, salah satunya adalah pembekal kami dengan anggaran madu dibekalkan setiap bulan adalah antara 100 kilogram (kg) hingga 200kg.

“Namun, ada ketikanya pernah 60kg sahaja. Apabila kurang, maka kami terpaksa mengurangkan pengeluaran produk,” jelasnya pendekatan itu bagi memastikan hanya madu asli digunakan untuk BeeBudz.

Tambah Nur Hazian, seandainya keadaan mendesak kaedah lain untuk mendapatkan madu asli adalah dengan mengimportnya dari negara jiran. Namun, situasi semasa masih terkawal.

Komersial

Dalam pada itu, ditanya mengenai perbezaan antara madu asli dengan madu komersial, Nur Hazian berkata, madu asli diambil dari sarang lebah dan terus dimasukkan ke dalam botol berbanding madu komersial yang perlu melalui proses pengeringan.

Jelasnya proses yang dilalui itu tidak mencemarkan keaslian madu kerana ia bagi memastikan madu dibotolkan untuk tujuan pemasaran berskala besar tidak mengalami kerosakan.

307871184_10161881836343368_4185971662111207950_n

Antara produk madu di bawah jenama BeeBudz. — Facebook/HazianGhazali

“Selagi madu komersial itu tidak dicampur dengan bahan lain ia masih asli. Cuma khasiatnya kurang sedikit berbanding madu yang tidak melalui proses pengeringan dan ia lebih segar.

“Tujuan proses itu sebenarnya untuk mengelak botol-botol yang ingin dipasarkan pecah kesan daripada kandungan gas dan asid terdapat pada madu tersebut,” tuturnya.

Bagi mengelak kekeliruan berkaitan bahan lain yang dicampur sehingga menjejaskan keaslian madu komersial, Nur Haizan menerangkan jika madu berkenaan dicampur dengan gula ia akan menjadi madu tidak asli.

Sebaliknya, jika madu komersial itu dicampur dengan bahan berkhasiat seperti habbatus sauda ia kekal sebagai madu asli.

“Sifat madu ini seperti penggalak, jika dicampur habbatus sauda ia lebih menambah kebaikan habbatus sauda itu. Kalau dicampur halia ia akan menambah khasiat dari halia itu,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram