
SEORANG pempengaruh media sosial mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan warga maya selepas berkongsi pandangannya mengenai konsep free-bleeding atau pendarahan haid tanpa penggunaan sebarang produk.
Free-bleeding merujuk kepada amalan tidak menggunakan sebarang produk haid seperti tuala wanita, tampon atau cawan haid ketika datang bulan.
Wanita yang mengamalkan konsep tersebut membiarkan darah haid mengalir secara semula jadi tanpa ditahan atau diserap oleh sebarang produk.
BACA LAGI: Haid lewat, jangan terkejut ada wanita anggap remeh
BACA LAGI: Wanita haid juga ada bahagian, ketahui amalan ringkas dan mudah raih fadilat malam lailatulqadar
Menerusi satu hantaran di Instagram wombgypsy, pempengaruh yang sering berkongsikan konten mengenai wanita dan keluarga itu menjelaskan, free-bleeding tidak sepatutnya dianggap menjijikkan atau menakutkan.
Bahkan, dia menjelaskan keadaan itu bukanlah seperti adegan jenayah berdarah yang sering digambarkan secara keterlaluan.
“Sejujurnya, kebanyakan masa darah haid menitis ke paha sahaja. Ia tidak terus mengalir ke lantai,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik pada 8 Februari lalu.
Beliau turut menekankan bahawa dengan kitaran haid sihat iaitu tanpa darah beku yang banyak atau pendarahan berlebihan, proses itu akan berlaku secara terkawal dan semula jadi, khususnya pada hari kedua haid.
Malah ujarnya, amalan tersebut masih boleh dilakukan walaupun bersama anak-anak, asalkan mempunyai perancangan rapi.
Dalam hantaran berasingan, pempengaruh itu turut menegaskan bahawa darah haid bukanlah sesuatu yang kotor.
“Darah kita mengandungi antioksidan, nutrien dan sel stem. Ia juga bersifat antibakteria, jadi secara literalnya bertentangan dengan kotor.
“Adakah kita kotor? Tidak, darah kita datang daripada sendiri dan darah kita juga bukan sesuatu yang kotor,” tegasnya.
Kiran (kiri) berlari dalam acara London Marathon tanpa sebarang produk haid.
Gerakan free-bleeding
Walaupun kelihatan baharu kepada segelintir masyarakat, gerakan free-bleeding sebenarnya bermula sejak 1970-an di Amerika Syarikat (AS), apabila golongan feminis mempersoalkan kewajipan penggunaan produk haid dan menentang syarikat korporat yang mengaut keuntungan daripada keperluan asas wanita.
Gerakan itu mendapat perhatian semula pada tahun 2015 apabila seorang pelari maraton, Kiran Ghandi berlari dalam acara London Marathon tanpa sebarang produk haid, sebagai simbol protes terhadap stigma haid dan kekurangan akses produk kebersihan wanita di seluruh dunia.
Sejak itu, amalan tersebut terus menjadi perbincangan hangat dalam komuniti kesedaran haid, dengan ramai wanita mula menilai semula hubungan mereka dengan tubuh dan keperluan haid secara lebih semula jadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram