Haid lewat, jangan terkejut ada wanita anggap remeh


  • Sihat
  • Khamis, 16 Feb 2023

Punca lambat period dipengaruhi oleh beberapa faktor yang berbeza.

HAID atau datang bulan merujuk kepada satu fisiologi tetap dan teratur yang dialami oleh wanita dalam lingkungan umur masih berupaya mengandung.

Kitaran haid adalah perkara penting dalam aspek kesuburan wanita. Haid yang tidak teratur mempengaruhi kesihatan dalaman dan mungkin boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.

Keguguran rambut, jerawat, sakit kepala dan kesakitan pada bahagian pelvis merupakan antara simptom lambat datang bulan, namun simptom-simptom ini berbeza bagi segelintir wanita.

Kebanyakan wanita normal mempunyai kitaran setiap 28 hari bermula daripada kali pertama keluar darah haid, namun, kitaran yang sihat boleh berbeza antara 21 ke 35 hari.

Berikut merupakan punca yang mungkin dipandang remeh terhadap masalah tersebut;

1) Tekanan

Walaupun dianggap remeh tetapi faktor tekanan juga boleh menjadi punca kepada lambat datang bulan atau period.

Lambakan kerja atau perubahan gaya hidup yang drastik boleh menyebabkan seseorang itu stres dan akan mengganggu kitaran haid.

2) Sindrom ovari polisistik (PCOS)

Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) adalah gangguan hormon yang sering berlaku dalam kalangan wanita usia reproduktif. PCOS mempengaruhi kesuburan, metabolisme dan psikologi. Wanita yang mengalami PCOS mempunyai gangguan kitaran haid dan paras hormon lelaki (androgen) yang tinggi.

3) Pil perancang

Pengambilan pil perancang atau pencegah kehamilan boleh mengganggu kitaran haid. Pil tersebut mengandungi hormon estrogen dan progestin yang mana boleh menghalang ovari daripada melepaskan telur.

Namun begitu, tempoh yang diambil untuk kitaran haid kembali normal adalah enam bulan selepas berhenti mengambil pil tersebut.

Photo of an Asian business woman taking a pill to ease her headache.

Elakkan makan ubat yang memudaratkan.

4) Ubat-ubatan

Selain pil pencegah kehamilan, sesetengah ubat yang digunakan bagi merawat masalah kesihatan tertentu juga boleh mengganggu kitaran haid wanita.

Antara ubat yang memberi risiko terhadap kitaran haid adalah seperti ubat untuk kemurungan dan ubat sawan.

5) Masalah berat badan

Antara punca lambat datang haid juga adalah anoreksia, bulimia nervosa dan obesiti. Berat badan yang berlebihan pula menyebabkan gangguan pada hormon.

Bagi mereka yang menghadapi isu anoreksia atau bulimia nervosa, dinasihatkan untuk merujuk doktor atau pakar pemakanan terlebih dahulu sebelum mengamalkan diet.

Di samping melakukan senaman secara berkala, pola pemakanan yang sihat perlu diamalkan agar mendapat berat badan normal.

Jika anda mengalami kelewatan haid, jangan risau dapatkan bimbingan dan nasihat doktor, tidak perlu malu untuk merawat diri anda. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Datang haid, stress, tekanan, pening, ubat