
SETIAP pasangan pengantin pastinya mengimpikan momen indah majlis perkahwinan diabadikan penuh emosi dan dengan keunikan tersendiri.
Menyedari peningkatan permintaan terhadap penghasilan video perkahwinan autentik, penerbit kandungan, Nurdini Ilyas, 25, tampil menyediakan konsep rakaman yang segar.
Graduan Komunikasi Massa (Penyiaran) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, Negeri Sembilan itu bukan sekadar merakam detik-detik bahagia, malah membawa pendekatan baharu dalam videografi perkahwinan dengan teknik mikrofon tersembunyi.
BACA LAGI: Sharmeen Looi perkukuh kedudukan dalam industri motosikal terpakai di Malaysia
“Ramai pasangan mahukan video yang bukan sekadar cantik secara visual, tetapi juga mengandungi momen benar-benar menggambarkan perasaan mereka pada hari istimewa itu.
"Mereka mahukan momen yang lebih natural, bukan hanya pose dirancang,” katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, pemasangan mikrofon tersembunyi memberi kelebihan dalam merakam suara dengan lebih jelas, terutamanya bagi momen-momen penting seperti pertemuan ketika menyarung cincin dan ucapan pasangan pengantin.
Keupayaan menangkap audio yang lebih jernih juga memberikan dimensi baharu kepada video perkahwinan yang lebih bermakna.
Teknik itu, yang diinspirasikan daripada produksi perkahwinan luar negara membolehkan suara dan perbualan spontan pengantin dirakam, menjadikannya salah satu elemen istimewa dalam hasil kerja wanita mesra disapa Dini itu.
Ujarnya, meskipun alternatif itu bukanlah perkara baharu dalam kalangan juruvideo perkahwinan di Malaysia, ia jarang dipraktikkan secara meluas.
"Sebelum ini ada juga juruvideo perkahwinan yang buat, tetapi mungkin tidak begitu ketara. Namun, saya melihat potensi besar untuk menangkap momen intim dan menyentuh hati dengan menggunakan teknik ini," bicaranya.
Pemasangan mikrofon tersembunyi memberi kelebihan dalam merakam suara dengan lebih jelas.
Peringkat antarabangsa
Nurdini mula berkecimpung secara serius sebagai penerbit kandungan sejak 2022 sebaik menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda.
Peluang keemasan hadir apabila anak jati Gombak, Selangor tersebut ditawarkan untuk menghasilkan kandungan bagi Kedutaan Jepun di Malaysia, dengan merakam detik penting memaparkan hubungan erat antara kedua-dua negara.
Dalam masa sama, beliau turut mengasah bakatnya dalam videografi perkahwinan secara bebas, menghasilkan video yang menghidupkan semula emosi dan kenangan manis pengantin.
Walaupun tidak merancang untuk menceburi bidang penggambaran perkahwinan, Nurdini secara tidak sengaja 'terjebak' selepas seorang senior sekolahnya meminta bantuan untuk merakam video pertunangan mereka
Setiap pasangan pengantin mengimpikan momen indah majlis perkahwinan mereka diabadikan dengan keunikan tersendiri.
Ujarnya lagi, minat dalam bidang kreatif sebenarnya bermula sejak usianya mencecah sekitar lima tahun.
"Daripada melukis, saya beralih pula kepada fotografi dan videografi ketika di sekolah menengah.
"Pengalaman sebagai ketua editor majalah sekolah juga membantu memahami aspek penceritaan visual lebih mendalam," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak itu.
Dengan aplikasi TikTok dan Instagram sebagai platform, karya seni yang dikongsikan Nurdini tidak pernah gagal menyuntik rasa kagum mata yang memerhati.
Justeru tidak hairanlah servisnya sentiasa dicari bakal pasangan raja sehari yang mahu detik bersejarah mereka dirakam lensa.
Keupayaan menangkap audio yang lebih jernih memberikan dimensi baharu kepada video perkahwinan yang lebih bermakna.
Hasil kerja estetik dan menyentuh perasaan tersebut telah melonjakkan permintaan terhadap perkhidmatan ditawarkan anak keempat daripada lima beradik itu, bukan sahaja dalam negara malah ke peringkat antarabangsa.
Kongsinya, beliau menerima tempahan merakam majlis perkahwinan di Singapura pada tahun ini, selain sedang 'dirisik' beberapa pasangan dari Brunei dan Indonesia.
"Mereka mula nampak hasil kerja saya melalui TikTok. Kebanyakan permintaan datang daripada pengantin yang menginginkan gaya penggambaran lebih semula jadi dan tidak terlalu banyak skrip atau gaya yang kaku," tutur Dini.
Akui Dini (kiri), juruvideo lelaki mahupun perempuan memiliki kehebatan yang tidak kurang hebatnya.
Dominasi
Meski perlu bersaing dalam industri didominasi lelaki, Nurdini melihatnya sebagai satu peluang untuk mencipta kelainan.
Dari segi karya, baik jurufoto atau juruvideo lelaki mahupun perempuan, bagi wanita tersebut, kedua-duanya menawarkan kualiti kerja yang tidak kurang hebatnya.
Bagaimanapun akui beliau, jurufoto atau juruvideo wanita berdepan sedikit kekangan dalam pergerakan.
"Sebagai wanita, kita perlu lebih berhati-hati dalam pergerakan untuk menjaga kesopanan, terutama di hadapan tetamu dan keluarga pengantin.
"Ini sedikit sebanyak membataskan beberapa sudut penggambaran. Selain itu, bagi jurufoto wanita yang datang haid, perkahwinan yang diadakan di dalam masjid boleh menjadi satu cabaran, kerana mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan masjid ketika haid.
Dini ingin terus memberi kegembiraan kepada pasangan pengantin melalui hasil karyanya.
Meski perlu bersaing dalam industri didominasi lelaki, Nurdini melihatnya sebagai satu peluang untuk mencipta kelainan.
"Namun, kebanyakan masjid di Kuala Lumpur dan Selangor kini sudah menyediakan ruang khas untuk majlis nikah, jadi ia memudahkan kami," kongsinya.
Beliau menambah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan untuk jurufoto dan juruvideo wanita dalam industri perkahwinan mula menunjukkan peningkatan.
"Ramai pengantin perempuan kini lebih selesa bekerja dengan jurufoto dan juruvideo wanita, mungkin kerana rasa lebih mesra dan mudah berkomunikasi ketika penggambaran," ujarnya.
Bagi Dini, impian terbesar adalah untuk terus memberi kegembiraan kepada pasangan pengantin melalui hasil karyanya.
"Saya berharap dengan menonton video-video saya, orang ramai dapat merasakan kebahagiaan bersama pengantin saya.
"Selain itu, saya juga ingin menggalakkan perasaan ingin berkahwin kerana perkahwinan adalah satu ibadah yang sangat digalakkan dalam agama," ujarnya mengakhiri perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram