APABILA tibanya penghujung Ramadan, umat Islam pasti ingin memburu 10 malam terakhir agar tidak terlepas peluang bertemu malam yang dinanti-nantikan iaitu lailatulqadar.
Mana tidaknya, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam lailatulqadar yang mana ia lebih baik daripada 1,000 bulan.
Firman ALLAH SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkan nya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” [Surah al-Qadar (1-3)]
Dari segi bahasanya, Lailah memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.
Al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.
Begitu besarnya kemuliaan malam lailatulqadar sehingga setiap umat Islam pasti menanam impian bertemu malam istimewa itu sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.
Segelintir individu pasti masih bingung tentang ibadah yang sesuai untuk dibuat bagi meraih ganjaran hebat di sisi ALLAH pada malam istimewa itu.
Bercakap soal itu, penceramah bebas, Dr. Zaharuddin Abd Rahman menerusi perkongsian di Facebook menyenaraikan beberapa perkara yang boleh dilakukan umat Islam bagi mendekatkan diri di sisi ALLAH menjelang malam-malam terakhir di bulan Ramadan.
Perkara ini disebut berpandukan al-Quran dan Sunnah seperti:
1) Solat fardu secara berjemaah khususnya bagi lelaki
Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya :” Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” [Riwayat Muslim (1509)]
2) Solat sunat.
Pelbagai jenis solat sunat boleh diamalkan seperti solat sunat rawatib selepas solat fardu dan solat sunat fajar sebelum solat Subuh.
3) Berdoa.
Umat Islam perlulah memperbanyakan berdoa terutama sewaktu sujud dan sebelum tahiyyat akhir sewaktu solat.
4) Bertaubat.
Bulan Ramadan merupakan masa yang tepat untuk bertaubat kepada ALLAH SWT dan juga memulangkan hak manusia yang dirampas, dicabuli, dizalimi.
Jika kita bertaubat ketika ini, akan terkumpullah dua keutamaan yang diperoleh seseorang mukmin.
Pertama, keutamaan kerana taubat itu dilakukan pada Ramadan yang pintu taubat terbuka luas dan keduanya keutamaan kerana menyegerakan taubat.
5) Minta maaf.
Umat Islam perlulah menggunakan kesempatan di bulan Ramadan ini untuk memohon maaf kepada orang yang pernah difitnah atau diumpati.
Seseorang juga perlulah memulangkan barangan yang dipinjam jika ia melibatkan wang dan harta atau pun meminta agar barangan diambil dihalalkan.
6) Bersedekah.
Puasa digabungkan dengan sedekah dan solat malam sama dengan jaminan syurga.
Puasa di bulan Ramadan adalah ibadah yang agung, bahkan pahala puasa tidak terbatas kelipatannya. Sebagaimana dikhabarkan dalam sebuah hadits qudsi:
كل عمل ابن آدم له الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف قال عز و جل : إلا الصيام فإنه لي و أنا الذي أجزي به
“Setiap amal manusia akan diganjar kebaikan, contohnya sampai 700 kali lipat. ALLAH Azza Wa Jalla berfirman: ‘Kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.’” [HR. Muslim no.1151]
BACA LAGI: 'Automatik mengalir air mata,' isu rumah terbengkalai buat pembeli sedih ditanya tentang status
Mendirikan solat tahajud merupakan ibadah yang perlu diperbanyakkan terutama semasa bulan Ramadan.
7) Solat tahajud.
Dalam Al-Wur'an surah Az-Zariyat ayat 15-18 disebutkan keistimewaan solat tahajud di bulan Ramadan.
Orang yang sentiasa solat tahajud akan mendapatkan ganjaran oleh ALLAH SWT ketika berada di akhirat kelak.
8) Mengikat niat.
Ramadan memberi peluang kepada orang Muslim untuk melaksanakan ibadah, bermuhasabah diri dan memperbanyakkan kebajikan.
Sudah pasti, perbuatan ini boleh dilakukan sepanjang tahun tetapi dengan mengaitkannya dengan bulan yang suci ini sering menjadi peringatan kepada individu untuk terus melakukan kebajikan.
Malah usaha kebajikan ini bukan saja dilakukan ketika berstatus mampu, tetapi juga amat dituntut ketika mengalami kesulitan kerana itu waktu yang terbaik untuk melakukan amal jariah seperti bersedekah.
Paling utama, kita hendaklah istiqamah dengan amal jariah yang dilakukan, lebih-lebih lagi ketika kita dikurniakan kesenangan supaya membuktikan diri kita tidak alpa dan leka dengan nikmat dunia.
9) Berubahlah ke arah kebaikan.
Pelbagai cara boleh dilakukan untuk berubah ke arah kebaikan seperti menutup aurat dengan sempurna dan menjaga mulut daripada mengeluarkan kata-kata yang kurang menyenangkan.
Mulakan dengan langkah kecil jika berasa diri tidak mampu melakukan secara drastik kerana apa yang penting adalah keihklasan hati untuk berubah.
10) Berkongsi hal-hal kebaikan.
Peranan setiap mukmin adalah membawa sahabatnya ke arah kebaikan selain menjauhi perkara yang mungkar bagi mengelak memurkaan ALLAH.
Dengan berkongsi hal-hal kebaikan seperti saling mengingatkan untuk beribadah mampu mendorong kita menjadi insan yang lebih baik di sisi agama.
BACA LAGI: Tabung Haji umum 3.10 peratus agihan keuntungan 2023
Umat Islam boleh mempertingkatkan darjat di sisi ALLAH dengan memperbanyakkan berselawat.
11) Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW.
Selawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu tuntutan di dalam agama ini, tambahan lagi banyak kelebihan yang boleh diperolehi dengan amalan ringkas ini.
Ada juga sekumpulan ulama menyatakan selawat adalah satu juzuk daripada zikir.
Oleh itulah Allah SWT menuntut kita untuk berselawat ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.
Selawat ke atas nabi adalah satu wasilah (jalan) untuk mendapatkan cinta Allah SWT.
Kedua-dua selawat dan zikir adalah tuntutan di dalam syarak kerana ada banyak dalil yang menyeru semua umat Islam untuk melaziminya.
12) Beriktikaf di masjid
Iktikaf merupakan salah satu daripada sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga diikuti oleh para sahabat Baginda. Ia membawa maksud keberadaan seseorang di dalam masjid dengan niat beribadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Pensyariatan iktikaf ini merujuk firman ALLAH SWT :
وَلاَ تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu semua menggauli mereka (para isteri) sedangkan kamu beriktikaf di masjid-masjid. (Surah al-Baqarah: 187)
Adakah wanita haid terhalang dari meraih keberkatan lailatulqadar?
Dr. Zaharuddin Abd Rahman menegaskan bahawa ALLAH SWT Maha Adil dan akan memberikan ganjaran sesuai bagi wanita yang sedang haid walaupun mereka tidak dapat menunaikan solat.
Dari sudut ibadah pula, bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti:
1) Berzikir dengan zikir mathur diikuti zikir-zikir lain.
2) Berdoa dengan penuh adab.
3) Membawa terjemahan al-Quran serta memahaminya.
Wanita yang sedang haid boleh mendengar bacaann al-Quran yang dibacakan oleh keluarganya sebagai cara memperoleh ganjaran pahala.
4) Mendengar bacaan al-Quran oleh suaminya atau keluarganya.
5) Ikhlas dalam mengurus keperluan keluarga dan anak-anak.
6) Sebahagian amalan yang telah disebutkan di atas yang boleh dilaksana oleh wanita haid dan kiranya relevan.
7) Mengajak kepada kebaikan dan kongsi status nasihat kebaikan.
8 ) Mengeluarkan zakat harta peribadi jika capai nisab dan haul. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram