Aktivis, pakar pendidikan senada pendidikan wajib sekolah menengah harus jadi keutamaan demi remaja perempuan kekal bersekolah


  • Massa
  • Ahad, 09 Mac 2025

Mewajibkan pendidikan menengah boleh memberikan manfaat ekonomi yang ketara kepada individu dan negara. — Gambar hiasan

MEWAJIBKAN pendidikan sekolah menengah mampu memberikan masa depan lebih cerah terhadap golongan wanita muda di Malaysia.

Aktivis kanak-kanak dan Pengasas Bersama Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainudin berkata, bagaimanapun kadar keciciran yang semakin meningkat terus menjejaskan peluang golongan tersebut untuk keluar daripada kemiskinan dan norma masyarakat merugikan.

Aktivis dan pakar pendidikan tersebut turut menegaskan, pendidikan menengah wajib harus dijadikan keutamaan untuk memastikan remaja perempuan kekal bersekolah.

BACA LAGI: Dasar wajibkan pendidikan menengah bakal dibentang di Parlimen Februari — Fadhlina Sidek

BACA LAGI: Komited beri akses pendidikan, kerajaan bakal laksana program intervensi mapan atasi masalah keciciran pelajar

“Ia merupakan langkah kritikal dalam memajukan komitmen Malaysia terhadap pendidikan yang adil dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 4) iaitu Pendidikan Berkualiti,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa dasar itu memberi impak besar kepada gadis muda, khususnya yang datang daripada latar belakang kurang bernasib baik, dengan menangani ketidaksamaan sistemik yang mengehadkan akses mereka kepada pendidikan.

Interview session with Datuk Dr. Hartini Zainuddin at MIDA Sentral, KualaLumpur.— FAIHAN GHANI/The Star

Hartini menegaskan, pendidikan menengah wajib harus dijadikan keutamaan untuk memastikan remaja perempuan kekal bersekolah.

“Dengan memastikan gadis-gadis kekal di sekolah, kita dapat membekalkan mereka dengan kemahiran kritikal, meningkatkan kebolehpasaran serta potensi pendapatan.

"Keadaan ini sekali gus berupaya memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi,” tambahnya.

Pada Disember tahun lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi mewajibkan pendidikan menengah akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Februari tahun ini.

Namun pada 17 Februari lalu, beliau berkata, perbincangan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah masih berlangsung bagi memastikan semua pihak menyokong dan meluluskan pindaan tersebut.

“Kami masih menunggu giliran, jika tidak, ia akan dibentangkan dalam sesi Parlimen seterusnya, tetapi rundingan masih berjalan,” katanya kepada media semasa majlis perasmian Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi di Semenyih, Selangor pada Februari lalu.

Nazreen berpandangan, wanita berpendidikan lebih cenderung melabur untuk pendidikan anak-anak mereka.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Nazreen Nizam berkata, mewajibkan pendidikan menengah boleh memberikan manfaat ekonomi yang ketara kepada individu dan negara.

Jelasnya, kajian menunjukkan bahawa pendidikan menengah menyumbang secara positif pada pertumbuhan ekonomi dan boleh menggalakkan lebih ramai pelajar melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi, yang memberi impak besar terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam jangka masa pendek dan panjang.

Beliau turut berpandangan bahawa wanita berpendidikan lebih cenderung melabur untuk pendidikan anak-anak mereka, sekali gus mencipta kitaran positif dalam pemerkasaan wanita.

“Bagi ramai gadis, khususnya daripada komuniti terpinggir, pendidikan bertindak sebagai faktor perlindungan terhadap perkahwinan awal dan buruh kanak-kanak, yang sering didorong oleh kesempitan kewangan,” tambahnya.

Pendidikan wajib boleh memastikan pelapis negara berada dalam persekitaran lebih selamat dan terstruktur.

Nazreen turut bersetuju bahawa memperkukuh akses pendidikan adalah penting, khususnya bagi komuniti kurang bernasib baik.

“Penyediaan pendidikan berkualiti secara percuma untuk semua kanak-kanak serta bantuan kewangan yang disasarkan perlu dilaksanakan.

"Mekanisme pemantauan juga perlu diperkukuh bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan," katanya.

Persekitaran selamat

Nazreen dalam pada itu menambah, norma budaya dan faktor sosioekonomi sering menentukan keputusan untuk mengeluarkan gadis dari sekolah.

“Dalam banyak keluarga, apabila menghadapi tekanan kewangan atau ahli keluarga jatuh sakit, gadis lebih cenderung untuk dihentikan sekolah bagi menjaga keluarga atau mengurus kerja rumah, berbanding lelaki,” katanya.

Beliau menegaskan, pendidikan wajib boleh memastikan gadis berada dalam persekitaran lebih selamat dan terstruktur, memberikan mereka peluang pembangunan peribadi serta kejayaan kerjaya.

“Dengan meneruskan pendidikan, gadis-gadis boleh membina autonomi dan memperoleh pengetahuan serta kemahiran diperlukan untuk membuat keputusan lebih baik mengenai kehidupan mereka,” katanya.

Farah Nini berkata, sekolah perlu lebih mudah diakses, terutamanya di kawasan luar bandar.

Kukuhkan sokongan pendidikan

Turut senada, Pesuruhjaya Kanak-Kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr. Farah Nini Dusuki menegaskan, keutamaan bukan hanya memastikan kanak-kanak hadir ke sekolah tetapi juga kekal dalam sistemnya.

Tambahnya, sekolah perlu lebih mudah diakses, terutamanya di kawasan luar bandar seperti di Malaysia Timur.

"Selain itu, jalan raya dan sistem pengangkutan juga perlu dipertingkatkan secara signifikan,” katanya.

Tegas beliau, pengabaian pendidikan dan pembangunan wanita muda berisiko memberi kesan negatif kepada negara.

Jelasnya, apabila sebahagian besar populasi kurang berpendidikan dan menghadapi kesukaran ekonomi, ia akan menjejaskan kemajuan negara secara keseluruhan.

“Meninggalkan gadis-gadis di belakang hanya akan mengukuhkan ketidaksamaan jantina dalam pendidikan, pekerjaan dan status sosial,” tambahnya. — The Star/JAAYNE JEEVITA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram