
SERAMAI 8,076 pelajar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak hadir dalam semua kertas bertulis mereka setakat 6 Februari lalu.
Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius isu ketidakhadiran dalam kalangan calon peperiksaan SPM.
"Berdasarkan data kementerian sehingga tarikh tersebut, 8,076 calon dilaporkan tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis dan 6,231 daripadanya adalah dari sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.
"Data rasmi kehadiran peperiksaan SPM 2024 hanya akan dikeluarkan pada hari keputusan diumumkan," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi menjelang Nisfu Syaaban, 5 beranak rentung rumah musnah dijilat api di Umbai
Fadhlina menegaskan tentang langkah intervensi yang diambil oleh KPM bagi menangani isu tersebut. — The Star
Ahmad Yunus sebelum ini meminta KPM menjelaskan punca utama yang dikenal pasti menyebabkan lebih 10,000 calon tidak hadir dalam kertas Bahasa Malaysia dalam peperiksaan SPM 2024.
Beliau juga ingin mengetahui status terkini semua calon termasuk langkah intervensi yang diambil dan akan dilaksanakan bagi menangani isu tersebut.
Susulan itu, Fadhlina berkata, bagi peperiksaan SPM 2024, seramai 386,739 calon baharu mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dengan 345,129 daripadanya adalah pelajar sekolah di bawah KPM.
"Menurut analisis Aplikasi Pengurusan Kehadiran Sekolah, punca utama pelajar tidak menghadiri peperiksaan SPM 2024 adalah bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, kematian dan berpindah ke luar negara," katanya.
Katanya, KPM sudah melaksanakan beberapa langkah intervensi termasuk memantau kehadiran pelajar setiap hari melalui Sistem Kehadiran Pelajar (eKehadiran) dalam Aplikasi Pangkalan Data Pelajar (APDM) bagi memudahkan intervensi di peringkat sekolah.
Menurut beliau, pasukan petugas juga sudah diaktifkan di semua peringkat dengan pemantauan melalui sistem papan pemuka bagi memastikan kehadiran pelajar dalam peperiksaan SPM dan mengoptimumkan strategi intervensi.
"Bukan itu sahaja, Dialog Prestasi Negara diadakan bagi membincangkan isu-isu berkaitan kehadiran SPM dan melaporkan intervensi bersasar yang dijalankan di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah.
"Usaha ini telah menyumbang kepada peningkatan dalam kehadiran calon SPM," hujahnya.
KPM pada masa sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti Program Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, perkongsian dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kerjasama dengan ibu bapa, masyarakat serta sektor swasta.
"Usaha kolektif ini mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat.
"Tambahan pula, peringatan telah dikeluarkan kepada JPN, PPD dan sekolah untuk memantau kehadiran pelajar bagi kedua-dua sesi persekolahan dan peperiksaan SPM," Tambahnya.
Fadhlina berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Meteorologi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan jabatan pendidikan negeri bagi memastikan kelancaran pentadbiran peperiksaan awam khususnya pada musim tengkujuh atau bencana banjir.
"Bagi memastikan peningkatan berterusan dalam kehadiran pelajar semasa peperiksaan SPM, kementerian telah mengambil langkah awal mengenal pasti pelajar berisiko dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 dan memastikan mereka menghadiri peperiksaan SPM 2025.
"Pengesanan awal ini membolehkan sekolah merancang dan melaksanakan langkah intervensi lebih awal," katanya.
Beliau menegaskan bahawa meskipun KPM melaksanakan pelbagai inisiatif dan intervensi untuk menambah baik kehadiran pelajar terutama semasa peperiksaan SPM, isu itu juga menjadi tanggungjawab bersama.
"Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka menghadiri peperiksaan, manakala masyarakat juga mempunyai kewajipan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan belia tentang kepentingan sijil SPM demi masa depan mereka," ujarnya. — The Star/RAHIMY RAHIM, ALLISON LAI, RAGANANTHINI VETHASALAM DAN TEH ATHIRA YUSOF
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram