Didik gadis autonomi tubuh usaha atasi perkahwinan bawah umur, elak jadi mangsa manipulasi


  • Massa
  • Selasa, 11 Mac 2025

Gadis muda perlu diajar tentang autonomi tubuh mereka dan kepentingan persetujuan dalam segala hal.

PERKAHWINAN melibatkan kanak-kanak dan remaja dikenal pasti sebagai salah satu faktor utama menyumbang pada peningkatan kadar keciciran murid di Malaysia.

Data Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) daripada Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan faktor tersebut sebagai punca utama peningkatan keciciran murid dari 2019 hingga 2023.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr. Farah Nini Dusuki berkata, cadangan undang-undang yang mewajibkan pendidikan menengah adalah langkah penting dalam usaha mengurangkan perkahwinan bawah umur.

BACA LAGI: Aktivis, pakar pendidikan senada pendidikan wajib sekolah menengah harus jadi keutamaan demi remaja perempuan kekal bersekolah

BACA LAGI: Dasar wajibkan pendidikan menengah bakal dibentang di Parlimen Februari — Fadhlina Sidek

Namun tegas beliau, melindungi gadis-gadis muda yang terdedah dengan perkahwinan bawah umur memerlukan usaha daripada pelbagai pihak.

"Pendidikan hanyalah satu aspek dalam usaha ini," katanya.

Beliau yang juga pensyarah kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya berkata, Pelan Strategi Kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur yang dilancarkan pada 2020 dan bakal tamat pada tahun ini, harus diteruskan.

Tegas Farah Nini, melindungi gadis-gadis muda yang terdedah dengan perkahwinan bawah umur memerlukan usaha daripada pelbagai pihak.

Pelan itu memberi tumpuan pada faktor utama yang menyumbang kepada perkahwinan kanak-kanak termasuk kemiskinan, kekurangan akses pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif, kemahiran keibubapaan serta masalah ketidakhadiran sekolah yang teruk.

Di Malaysia, undang-undang mengenai perkahwinan bergantung kepada agama dan negeri tempat tinggal seseorang.

Bagi umat Islam, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menetapkan umur minimum perkahwinan bagi perempuan adalah 16 tahun dan bagi lelaki 18 tahun, kecuali jika mendapat kebenaran bertulis daripada hakim Syariah.

Sementara itu, bagi perkahwinan antara lelaki dan wanita bukan Islam, Akta Reformasi Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) menetapkan umur minimum bagi kedua-duanya adalah 18 tahun, namun perempuan yang berumur 16 tahun ke atas dibenarkan berkahwin dengan lesen khas daripada menteri besar.

Umur minumum

Pada 2022, Selangor dan Kedah telah meminda undang-undang negeri mereka untuk menaikkan umur minimum perkahwinan bagi perempuan kepada 18 tahun.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberitahu, sebuah jawatankuasa pemantauan akan menilai Pelan Strategi Kebangsaan tersebut sebelum keputusan akhir mengenai pelan baharu dilaksanakan.

Sementara itu, aktivis kanak-kanak dan pengasas Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainudi berkata, kajian menunjukkan untuk setiap tahun tambahan pendidikan menengah yang diterima oleh remaja perempuan, tahap kebarangkalian mereka berkahwin sebelum umur 18 tahun menurun sebanyak lima hingga enam peratus.

Beliau turut menegaskan pentingnya penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap undang-undang umur minimum perkahwinan di seluruh negara, bersama-sama dengan peningkatan akses kepada pendidikan menengah berkualiti dalam pelan strategik yang akan datang.

Pendidikan seks komprehensif perlu diberikan kepada gadis muda di sekolah.

Pendidikan seks komprehensif

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Nazreen Nizam berkata, pendidikan seks komprehensif (CSE) perlu diberikan kepada gadis muda di sekolah.

Jelas beliau, apabila golongan tersebut diberi maklumat mengenai tubuh mereka termasuk impak perkahwinan awal, mereka akan lebih cenderung untuk mengutamakan pendidikan berbanding berkahwin dan berhenti sekolah.

"Gadis muda lebih terdedah kepada manipulasi dan paksaan kerana mereka mungkin tidak sepenuhnya memahami kesan aktiviti seksual atau perlindungan undang-undang yang tersedia untuk mereka," jelasnya.

Nazreen turut menekankan kepentingan mengajar gadis muda tentang autonomi tubuh mereka dan kepentingan persetujuan dalam segala hal.

"Persetujuan harus diberikan dengan bebas, boleh ditarik balik, dimaklumkan dan spesifik.

Dalam pada itu, Dr. Farah Nini menambah, pendidikan seks komprehensif yang diajar dengan berkesan dapat membantu mencegah gadis muda daripada terjerumus dalam masalah kehamilan luar nikah.

"Walaupun terdapat kandungan CSE di sekolah rendah dan menengah, masih terdapat persoalan mengenai sama ada kanak-kanak benar-benar mendapat manfaat sepenuhnya daripada pendidikan tersebut," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram