
WANG hantaran yang sepatutnya menjadi simbol penghargaan dalam sesebuah perkahwinan kini dilihat menjadi antara punca utama menyulitkan segelintir pasangan untuk mendirikan rumah tangga.
Tidak dapat dinafikan, jumlah wang hantaran tinggi, kadangkala melebihi kemampuan bakal pengantin lelaki boleh mencetuskan tekanan kewangan dan konflik antara dua keluarga.
Lebih membimbangkan, terdapat majlis perkahwinan yang terpaksa dibatalkan kerana pihak lelaki tidak mampu memenuhi permintaan hantaran ditetapkan pasangan atau keluarga pihak perempuan.
Situasi itu menimbulkan persoalan sama ada nilai wang hantaran kini lebih menitikberatkan aspek material berbanding tujuan sebenar perkahwinan iaitu membina kehidupan bersama secara sah dan berkat.
Seperti luahan hati seorang pemuda yang berdepan dilema selepas memasang niat untuk melangsungkan perkahwinan bersama teman wanitanya pada tahun hadapan, selepas berkawan selama 10 tahun.
Bagaimanapun situasi agak sukar bagi lelaki itu apabila ibu kepada pasangannya bertindak menaikkan nilai wang hantaran selepas anaknya menerima gelaran doktor.
Namun, tidak dinyatakan dengan jelas dalan perkongsian itu mengenai jenis pangkat yang diperoleh wanita tersebut, sama ada doktor falsafah ataupun doktor perubatan.
"Mula-mula mak beliau minta hantaran RM20,000 sebab beliau anak tunggal. Minggu lepas mak dia naik lagi jadi RM30,000 sebab anak sudah ada pangkat doktor.
"Buat satu majlis tapi aku kena keluarkan lagi RM20,000, jadi jumlah keseluruhan RM50,000. Nak batalkan tapi sudah buat tempahan," tulisnya tanpa mendedahkan identiti.
Tangkap layar memaparkan luahan hati sorang lelaki yang enggan mendedahkan identiti dirinya di media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata meluahkan pandangan berhubung situasi dialami lelaki berkenaan, dengan kebanyakannya menasihatkan agar beliau berfikir masak-masak sebelum meneruskan perkahwinan itu.
Menurut seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Ummi Ain, kebiasaannya tindakan meletakkan mahar tinggi adalah cara halus untuk menolak lelaki tersebut.
"Move on lah dik, cinta boleh dipupuk, jodoh boleh diaturkan. Lama bercinta bukan tiket bahagia selamanya.
"Bernikah bermaksud menerima keluarganya sekali. Pernikahan adalah perjuangan. Awal-awal lagi awak dah menderita dan berjuang seorang, macam mana itu? Fikirlah dengan waras akal lelaki kamu bukan mengikut perasaan," tulisnya.
Turut senada, Ridwan Eliasak yang berpendapat bahawa perkahwinan dengan mahar rendah adalah lebih berkat dan terbaik.
"Permudahkan perkahwinan, jangan menyukarkan. Bab perkahwinan anak kalau boleh jangan libatkan mak, ikat mak simpan dalam almari," ujarnya sambil diselit elemen humor.
Bagi Aisah Abd Kadir pula, lelaki tersebut disarankan agar tidak berhutang semata-mata untuk melangsungkan majlis perkahwinan.
"Berpada-pada, fikir untuk kehidupan selepas nikah itu lebih baik. Jangan sesekali berhutang untuk majlis perkahwinan.
"Kehidupan selepas kahwin kalian berdua yang lalui. Kalau dah RM50,000 pihak lelaki kena faham-fahamlah ya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram