[VIDEO] Ibu tak tahan sebak, bapa cukur rambut tanda sokongan anak hidap leukemia


  • Relaks
  • Khamis, 10 Apr 2025

Tangkap layar memaparkan suasana ketika Eva dan bapanya mencukur rambut di sebuah salun dekat Kuala Lumpur.

SEBAK dan penuh emosi. Itu situasi sesuai menggambarkan tindakan seorang bapa yang sanggup mencukur rambut sendiri sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada anak perempuannya yang disahkan menghidap leukemia.

Momen menyayat hati tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran video di TikTok oleh pengguna akaun @syiffff217 pada Sabtu lalu, sebelum menjadi tular.

Dalam video berdurasi seminit itu, kelihatan seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Eva duduk tenang ketika rambutnya dicukur di sebuah salun di Kuala Lumpur.

BACA LAGI: Renjana, kisah guru wanita pertama di Tanah Melayu

BACA LAGI: Ada 'master', belajar sampai UK, Farah Lee enggan ambil 'port' komen netizen 'sesak duit sampai berbisnes colek'

 

Leukemia adalah sejenis kanser darah yang berlaku apabila sel leukemia (sel darah putih tidak matang) dalam sumsum tulang membiak di luar kawalan. — Gambar hiasan/ Asean Scientist

Sedang anak duduk di pangkuan bapa, si ibu pula cuba merakam detik berharga tersebut sambil kedua-dua pasangan suami isteri itu difahamkan cuba mengawal air mata mereka daripada tumpah.

"Semalam umi ayah putuskan untuk cukur rambut Eva. Ingatkan dah cukup kuat nak hadap tapi umi ayah tak boleh tahan sebak tengok rambut adik kena cukur habis.

"Kemudian apabila umi nak bayar, pemilik salun tersebut cakap tak perlu bayar. Lagilah umi tidak boleh tahan dik, terus meleleh air mata umi dan ayah di kedai itu," tulisnya di ruangan kapsyen.

Di sebalik ujian besar yang menimpa keluarga tersebut, wanita itu meluahkan rasa syukur atas segala bentuk sokongan dan pertolongan yang diterima sejak hari pertama anak mereka didiagnosis.

Luahan ikhlas itu mengundang rasa pilu dalam kalangan warga maya yang rata-ratanya mendoakan kesembuhan segera buat Eva yang kini menerima rawatan kemoterapi, selain berharap agar keluarga berkenaan terus diberi kekuatan.

"Aunty pun pejuang leukemia dik, kita sama-sama kuat tau! Semoga kita cepat sihat seperti biasa," ujar Pn Yaya.

"Salam sayang Eva, terus sihat sembuh dan kuat ya. 'Pecah' dada rasa apabila tengok si ayah menangis. Anak-anak saya silih berganti keluar masuk wad, raya pun di hospital," kongsi songketbiru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram