[VIDEO] 'Jangan endah tahi lalat hidup', kesihatan pemain golf amatur wanita berubah 360 darjah selepas hidap kanser kulit


  • Sihat
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Shanie kini berkongsi kisahnya secara terbuka di media sosial untuk menyebarkan kesedaran. — Instagram/shanie.lim

DARIPADA seorang wanita aktif yang gemar bersukan dan berkongsi gaya hidup sihat di media sosial, kehidupan Shanie Lim kini berubah 360 darjah selepas didiagnosis menghidap kanser kulit malignant melanoma tahap empat.

Pemain golf amatur berasal dari Indonesia itu tidak pernah menyangka nikmat sihat selama ini akan 'tergugat'.

Berkongsi tentang perjalanan hidup, Shanie memberitahu, beliau sering melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti fizikal termasuk menyertai larian maraton 5 kilometer (km) buat kali pertama pergi ke gimnasium dan bermain golf bersama rakan-rakan.

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu tak tahan sebak, bapa cukur rambut tanda sokongan anak hidap leukemia

BACA LAGI: [VIDEO] Dengar macam pelik, Dr. Raihana ulas sebab kerap sakit perut apabila masuk kedai serbaneka

Baginya, setiap hari adalah peluang untuk menikmati hidup sepenuhnya. Namun takdir berubah dalam sekelip mata.

Ujar Shanie, segalanya bermula apabila tahi lalat di kaki kirinya, pecah selepas secara tidak sengaja terlanggar sebuah kerusi.

"Tahi lalat tersebut pecah dan mula mengeluarkan darah tanpa henti sebelum saya segera dibawa ke hospital.

"Ketika luka dirawat, pihak hospital menyedari bahawa tahi lalat tersebut menunjukkan tanda-tanda luar biasa. Ia bukanlah luka biasa.

"Keesokan harinya, saya mendapatkan pandangan pakar dan disarankan menjalani pembedahan kecemasan untuk membuang tahi lalat tersebut. Sampel kemudiannya dihantar untuk biopsi," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Sabtu lalu.

Akui Sharnie, keputusan yang diterima benar-benar meruntun jiwa apabila disahkan menghidap kanser kulit malignant melanoma.

Tidak terhenti di situ, beliau terpaksa menjalani pelbagai ujian lanjut bagi menentukan tahap penyakitnya.

"Saya kini berada di tahap empat. Kanser tersebut telah merebak ke seluruh bahagian kiri tubuh termasuk kaki, kawasan inguinal, nodus limfa bahkan mula menyerang paru-paru," ujarnya menambah tahi lalat tersebut tumbuh sekitar 2020 sebelum mula membesar.

Berkongsi tentang proses pemulihan, jelasnya, setiap pembedahan biasanya mengambil masa sekitar sebulan untuk kulit luar sembuh sepenuhnya.

Tambah Shanie lagi, otot dan saraf yang rosak di kawasan pembedahan pula boleh mengambil masa sehingga setengah tahun untuk pulih dan bercantum semula dengan baik.

Shanie sering melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti fizikal termasuk bermain golf.

"Masalah keseimbangan adalah bahagian yang paling mencabar. Selepas pembedahan, saya terlantar di katil untuk beberapa ketika dan perlu menggunakan kerusi roda.

"Jadi setiap hari saya melatih diri berjalan perlahan-lahan sambil berpaut pada permukaan seperti dinding dan meja sehingga mampu berjalan dan berdiri seimbang tanpa sebarang bantuan.

"Untuk menguatkan semula otot-otot terjejas selepas pembedahan, saya lakukan senaman ringan seperti regangan perlahan, pilates dan senaman berintensiti rendah yang menguatkan bahagian bawah badan," ceritanya lagi.

Kini, Shanie berkongsi kisahnya secara terbuka di media sosial bukan untuk meraih simpati, tetapi bagi menyebarkan kesedaran.

Pesannya, jangan abaikan sebarang perihal mencurigakan yang muncul pada tubuh badan.

"Walaupun ia hanyalah tahi lalat atau benjolan kecil yang kelihatan tidak berbahaya, pemeriksaan awal mungkin menjadi penyelamat nyawa.

"Kalau ada yang mencurigakan, tolong buat pemeriksaan. Kita tak tahu apa sebenarnya sedang berlaku dalam badan,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram