KEJADIAN pelakon jelita Fasha Sandha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, yang mengalami kecederaan cedera pada mata kiri ketika menjalani penggambaram menggemparkan industri hiburan tanah air.
Bahkan ramai peminat yang mendoakan agar ibu kepada tiga cahaya mata itu agar kembali pulih dan mampu untuk meneruskan rutin sebagai anak seni seperti biasa.
Melihat kepada situasi itu, jelas barisan pelakon tempatan sendiri tidak memandang enteng dalam melakonkan watak.
Tidak hanya Fasha, 38, terdapat juga beberapa barisan pelakon lain yang turut berhadapan situasi sama iaitu tercedera ketika menjalani penggambaran.
Noorkhiriah
Pelakon yang terkenal dengan watak komedi, Noorkhiriah mengalami cedera pada tangan kanan akibat gagal mengawal motosikal yang ditungganginya ketika menjalani penggambaran drama pada Januari lalu.
Berdasarkan video yang tular, pelakon berusia 45 tahun itu menaiki sebuah motosikal di hadapan rumah sebelum merempuh sebuah kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.
Susulan kejadian itu, ramai pengguna media sosial yang meluahkan rasa bimbang dan tertanya-tanya tentang kecederaan yang dialaminya.
Bagaimanapun emilik nama lengkap Noorkhiriah Ahmad Shapie itu mengatakan dia berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Janna Nick
Kata orang malang tidak berbau. Begitulah yang berlaku kepada pelakon Janna Nick atau Nurul Jannah Muner, 27, yang turut mengalami kecederaan di lokasi pada Januari lalu.
Berdasarkan perkongsian pelakon itu di Instagram sekitar Januari lalu, dia mengalami luka di lutut kiri dipercayai kerana terjatuh.
Janna kemudian membersihkan luka terbabit yang ketika itu masih berdarah dengan menggunakan tisu.
Dia juga sempat berseloroh mengatakan: "Nasib luka dekat lutut tak sesakit luka di hati."
Puteri Rafasya
Insiden yang tidak terduga itu turut berlaku kepada pelakon kanak-kanak, Puteri Rafasya Abdul Rauf pada awal Mac.
Pelakon berusia 12 tahun itu dikhabarkan mengalami retak tulang pinggul ketika sedang menjalani penggambaran.
Difahamkan kejadian itu berlaku ketika dia sedang berlatih salah satu adegan dalam drama Jaga Aku Selamanya.
Ketika dia ingin duduk semula selepas berdiri, tiba-tiba muncul kanak-kanak terbabit menarik kerusinya sehingga menyebabkan Puteri Rafasya jatuh terduduk.
Datuk Jalaludin Hassan
Bukan sahaja berlaku kepada pelakon muda, bahkan aktor veteran, Datuk Jalaluddin Hassan juga pernah mengalami perkara sama ketika menjalani penggambaran drama Jalan Sesat Ke Syurga pada Julai dua tahun lalu.
Difahamkan Jalaludin terjatuh ketika menuruni anak tangga sehingga mengakibatkan kaki kanannya membengkak.
Awalnya ramai menyang pelakon berusia 69 tahun itu mengalami serangan jantung atau tekanan darah tinggi. Namun, dia menegaskan bahawa ketika itu tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik, tetapi hanya silap langkah.
Hairul Azreen
Pada 2019 ligamen kaki Hairul Azreen pernah putus ketika dia membuat aksi terjun dari tingkat dua bangunan.
Berkongsi khabar tersebut di media sosial, Hairul atau nama lengkapnya Hairul Azreen Idris, 34, mengatakan ligamen atau tisu pada kaki kanannya tercedera.
Kemudian pelakon itu sekali lagi mengalami kecederaan pada kaki iaitu ketika sedang menjalani filem The Original Gangster (The OG) pada Februari lalu.
Dalam kejadian itu, lutut kirinya cedera selepas ligamen krusiat anterior (ACL) putus.
Disebabkan kecederaan itu, Hairul perlu menjalani tempoh berehat sebelum dapat meneruskan semula penggambaran filem arahan Syamsul Yusof itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram