
MAHKAMAH Sesyen di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu ditunjukkan 10 rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) ketika hari kehilangan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin pada 5 Disember 2023.
Menurut laporan Berita Harian, klip tersebut antara lain memaparkan kelibat dipercayai Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dalam longkang, saksi berlari dan rakaman ibu kanak-kanak autistik itu di sebuah pasar raya.
Kesemua 10 rakaman video CCTV itu dimainkan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi, pada perbicaraan hari ke-16 kes pengabaian dihadapi ibu bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isteri, Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis Seremban tahan anggota tentera tumbuk pemandu wanita tak sengaja langgar anak, isteri
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya orang Malaysia, asal Jerantut Pahang', Abang Belon sayu difitnah warga asing, tiada IC
Saksi pendakwaan ke-26, Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Superintendan (ASP) Latifah Abdul Aziz berkata, pegawai penyiasat mengkhususkan kepada rakaman video bertajuk 'CCTV nampak mangsa dalam longkang' pada 5 Disember 2023 (hari kehilangan Zayn Rayyan) jam 12.13 tengahari iaitu baju putih dalam longkang dan rakaman video bertajuk 'saksi berlari' pada jam 12.08 tengahari memakai baju hitam 'berlari'.
"Hasil analisis dan pemeriksaan mengenal pasti imej yang kemudian di tangkap layar (capture), dibesarkan dan dijalankan proses 'enhancement' (penambahbaikan) bagi tujuan menjelaskan kualiti imej.
"Saya berjaya 'capture' sembilan imej yang berkaitan, bagaimanapun saya dapati daripada imej ini wajah individu dipercayai mangsa tidak berjaya dikeluarkan, kurang jelas dan kabur, ini kerana terdapat pagar di antara kedudukan CCTV dengan subjek difokuskan," katanya yang sudah berkhidmat dengan unit itu sejak 2011.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan (dua dari kanan) dan Ismanira, kedua-duanya berusia 30 tahun didakwa bersama-sama mengabaikan mangsa dengan cara mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Latifah kemudiannya memaklumkan dirinya diminta pegawai penyiasat untuk memproses enam rakaman video daripada 'fail' CCTV 'Econsave Ibu Mangsa' pada puku; 11.54 pagi hingga pukul 11.57 pagi, tarikh sama dengan mengkhususkan imej individu memakai tudung warna hitam, baju bunga hijau bawa beg 'purple' putih, dan kelibat ibu mangsa bawa barang dari pasar raya itu menuju ke motosikal.
"Selain itu, folder CCTV 'penampakan' bagi mengeluarkan imej individu berbaju putih berjalan dalam terowong, dan jalan balik dalam terowong dan juga individu berbaju hitam berlari.
"Bagaimanapun, hasil analisis yang saya jalankan menunjukkan imej dikeluarkan adalah kurang jelas, terdapat beberapa objek lain seperti pagar dan pokok yang menghalang imej individu di dalam paparan video serta jarak daripada kamera CCTV dengan subjek yang difokuskan adalah jauh," katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berusia 30 tahun, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin, berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan tersebut akan bersambung 21 April depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram