Kisah benar 'mula dari bawah', kerani asaskan Public Bank hingga dapat status bank ke-4 terbesar di Malaysia


  • Bizz
  • Khamis, 17 Apr 2025

Permulaan Hong Piow dalam bidang perbankan dengan memegang peranan selaku kerani di OCBC.

PADA 1950, seorang pemuda berusia 20 tahun melangkah masuk ke dunia perbankan sebagai seorang kerani di Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd (OCBC) di Singapura. 

Tidak ramai menyangka pemuda ini, yang kemudiannya dikenali sebagai Tan Sri Dr Teh Hong Piow, akan menjadi pengasas kepada salah satu institusi kewangan terbesar di Malaysia, Public Bank Berhad.

BACA LAGI: Gerai masakan Pantai Timur 'bungkus', wanita asal Kota Bahru buka agensi pelancongan teroka destinasi unik Eropah antaranya buru cahaya aurora

BACA LAGI: Berkat jaga ibu di Muar, tinggalkan bisnes di KL, Bahar raih pendapatan lumayan teroka sektor pertanian

Dalam tempoh lima tahun bekerja di OCBC, beliau yang dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930 menunjukkan bakat luar biasa dalam bidang perbankan dan dinaikkan pangkat sebagai pegawai.

Pada 1960, beliau menyertai Malayan Banking Berhad (Maybank) sebagai pengurus dan dalam masa empat tahun, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar ketika berusia 34 tahun. 

Kepantasan beliau dalam menaiki hierarki perbankan membuktikan kebolehan serta wawasan besarnya terhadap industri ini.

Mendiang Tan Sri Dr Teh Hong Piow.

"Tiada sesiapa mempunyai bola kristal yang boleh memberitahu anda sama ada anda akan berjaya atau tidak. 

"Tetapi anda boleh mengawal cara anda mengendalikan orang di sekeliling anda dan kesannya terhadap matlamat anda," demikian kata beliau seperti yang dipetik daripada tulisan belasungkawa oleh Tatler susulan pemergian beliau pada 2022.

Visi penubuhan Public Bank

Dengan pengalaman luas dalam dunia perbankan dan pemahaman mendalam mengenai keperluan pelanggan, Hong Piow mengambil langkah berani mengasaskan Public Bank Berhad pada 1965.

Menjelang akhir 1966, modal berbayar Public Bank Berhad mencapai nilai RM12.75 juta.

Pada tahun berikutnya, bank tersebut disenaraikan di Bursa Malaysia dengan modal berbayar sebanyak RM16 juta.

Beliau mempunyai visi yang jelas bagi menubuhkan bank terbabit iaitu membangunkan sebuah bank yang berorientasikan rakyat, dengan perkhidmatan cekap, beretika, dan berfokus pada kestabilan kewangan.

Malaysia's first Prime Minister Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj was warmly welcomed by Teh Hong Piow at the official opening of Public Bank on April 4, 1967. *** Local Caption *** Malaysia's first Prime Minister Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj is warmly welcomed by Teh Hong Piow at the official opening of Public Bank on April 4, 1967.

Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj disambut mesra oleh Hong Piow pada pembukaan rasmi Public Bank pada 4 April 1967.

Cawangan pertama Public Bank dibuka di Jalan Gereja, Kuala Lumpur, pada 1966. 

Di bawah kepimpinan Tan Sri Teh, Public Bank berkembang menjadi institusi kewangan yang dihormati bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa. 

Bank ini kini mempunyai cawangan di Hong Kong, Kemboja, Vietnam, Laos, China, dan Sri Lanka. 

Dari hanya sebuah bank kecil di Kuala Lumpur, Public Bank kini menjadi antara bank domestik terbesar di Malaysia berdasarkan dana pemegang saham dan antara yang paling menguntungkan di rantau ini.

Tan Sri Teh bersara sebagai Pengerusi Public Bank pada 2018 dan diberikan gelaran Pengerusi Emeritus pada tahun 2019.

Cawangan Public Bank Berhad pertama di Jalan Gereja, Kuala Lumpur. — The BrandLaureate

Di bawah terajunya, beliau berjaya membangunkan Public Bank menjadi bank ketiga terbesar di Malaysia. 

Sehingga 21 Mac 2025, harga saham Public Bank adalah RM4.48, dengan permodalan pasaran berjumlah RM86.96 bilion.

Beliau meninggal dunia pada 12 Disember 2022 pada usia 92 tahun, meninggalkan legasi yang tidak ternilai dalam dunia perbankan.

Pada 2022, sebelum pemergiannya, kekayaan beliau dianggarkan sekitar AS$5.7 bilion (lebih RM25 bilion), menjadikannya orang ke-4 terkaya di Malaysia ketika itu.

Menurut senarai Forbes Malaysia's 50 Richest pada tahun-tahun sebelum pemergiannya, Hong Piow secara konsisten berada dalam kelompok lima teratas. 

Beliau turut dianugerahkan Ijazah Doktor Undang-undang (Kehormat) dari Universiti Malaya pada 1989. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram