
CAHAYA mata merupakan anugerah tidak ternilai diimpikan setiap pasangan suami isteri di muka bumi.
Tidak dinafikan, isu kewangan dan kekangan dari segi masa antara cabaran terbesar insan bergelar ibu bapa namun, hal itu boleh dianggap sebagai lumrah kehidupan dalam rumah tangga.
Malah, sudah menjadi kewajipan buat ibu bapa untuk membesarkan anak bagai menatang minyak yang penuh walau apa jua halangan merintang pada masa akan datang.
BACA LAGI: Khir Rahman asalnya vokalis Iklim, pernah tuai album solo sebelum sertai 'Rimba Bara'
Umum mengetahui bahawa tempoh penjagaan anak seawal usia bayi cukup penting dan memerlukan tumpuan penuh daripada pasangan suami isteri yang bertindak sebagai ibu bapa.
Namun, ramai terlepas pandang bahawa masa 'emas' ibu bapa bersama anak-anak sebenarnya cukup singkat apabila hanya terhad dalam tempoh 13 tahun.
Usia kanak-kanak merupakan tempoh terbaik ibu bapa dalam mendidik anak.
Merupakan waktu paling berkesan untuk mendidik dan membentuk sahsiah diri anak, segala perihal ditunjuk ajar diyakini mampu dijadikan amalan kerana masih tiada campur tangan individu luar.
Usai melangkah ke usia 13 tahun ke atas, lazimnya anak-anak akan mula terdedah kepada pengaruh rakan sebaya, cenderung untuk mencuba perkara baharu dan berdikari tanpa pengawasan penuh ibu bapa.
Bukan satu kesalahan, namun ibu bapa perlu bijak mempraktikkan sebaiknya tempoh 13 tahun pertama bersama anak-anak agar tidak menyesal di kemudian hari.
Hantaran dimuat naik di laman Facebook Hamil Mudah Bersama Fumon jelas memaparkan kepentingan ibu bapa dalam mendidik sebelum si kecil melangkah ke alam remaja.
Antara perkara boleh dimanfaatkan dalam tempoh emas itu ialah ibu bapa perlu mendidik dengan tegas bagi mengelakkan si kecil tersalah pilih jalan negatif.
Namun, seiring dengan perubahan usia, anak-anak akan mula menyendiri dan menghabiskan masa sendirian di dalam bilik.
Di saat itu, segalanya akan berubah sedikit demi sedikit bila mana si kecil yang dahulunya gemar bersama ibu bapa, akan lebih mendengar kata-kata orang luar berbanding keluarga sendiri.
Berlalu dengan cukup pantas, tempoh 13 tahun itu akan tiba tanpa disedari sebaik mereka melangkah ke sekolah menengah di Tingkatan Satu.
Bermula detik itu, mereka akan melanjutkan pengajian di universiti, seterusnya mendirikan rumah tangga dan mempunyai kehidupan sendiri yang menjadi keutamaan hidup mereka.
Justeru, ibu bapa di luar sana diseru agar menghargai dan meluangkan masa sebaiknya bersama anak-anak selagi mereka masih tinggal sebumbung.
Kelak, peluang itu akan lesap jika diabaikan dan segala momen indah sewaktu bayi hanya tinggal kenangan yang tidak dapat diputar kembali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram