
SYARIKAT terkemuka seni bina dan reka bentuk Sepanyol, Cosentino melancarkan Laporan Trend Global pertama mereka bertajuk Shaping Tomorrow: Future Design & Architecture.
Laporan pertama kali diterbitkan itu memperkenalkan lima trend utama dijangka membentuk reka bentuk dan seni bina masa akan datang iaitu Origin, Solace, Nature, Urban, dan Wonder.
Laporan lebih 400 halaman itu, mengkaji setiap trend dengan mendalam melalui teks informatif, papan mood inspirasi, palet warna, kata kunci, mikrotrens, kajian kes global, pemilihan bahan, serta wawancara dengan pereka serta arkitek terkenal dari seluruh dunia.
BACA LAGI: The Gunners bentang pelan hebat, Man United gigit jari, terlepas khidmat Gyokeres
BACA LAGI: [VIDEO] Rindu kelibat Ramez Dayoub, Selangor mungkin boleh pancing 3 pemain persis import Lubnan
Buku laporan Shaping Tomorrow: Future Design & Architecture yang terdiri daripada lebih 400 halaman.
Untuk memberikan kelainan kepada idea tentang kehidupan dan seni bina, laporan itu juga menampilkan karya seni daripada artis digital, ilustrator, jurugambar serta pereka gaya yang mentafsirkan kelima-lima trend menghubungkan teori dengan amalan praktikal.
Cosentino turut bekerjasama dengan wartawan serta editor terkemuka, Enric Pastor, dan pengasas The Color Authority, Judith van Vliet bagi mengkaji dan mendedahkan setiap trend melalui penceritaan yang lebih jelas bersama fotografi yang mencabar setiap pemikiran, serta penggunaan warna, tekstur untuk mempamerkan bagaimana trend itu akan membentuk masa depan reka bentuk.
Laporan itu juga menunjukkan bagaimana Cosentino, yang beroperasi di lebih daripada 120 negara, terus memacu inovasi reka bentuk antarabangsa dalam industri itu.
Cosentino menyenaraikan lima trend utama dalam reka bentuk dan seni bina masa hadapan.
Origin terikat perkara tidak dipengaruhi manusia
Trend pertama diketengahkan ialah Origin, yang menekankan pentingnya budaya, seni bina, makanan, fesyen tempatan dalam membentuk cita rasa, nilai, dan kepercayaan diri.
Dalam dunia sentiasa berubah, reka bentuk berasaskan asal-usul mencipta hubungan emosi yang lebih kuat dengan persekitaran.
Menurut pereka dari Mexico, Fernando Laposse, Origin adalah sesuatu yang terikat dengan perkara tidak terlalu dipengaruhi oleh kehadiran manusia.
Reka bentuk Solace mengutamakan emosi
Trend kedua, Solace, lebih berfokus kepada reka bentuk yang mengutamakan emosi manusia.
Reka bentuk yang memperhatikan keperluan emosi kita akan memberi impak positif kepada kesihatan mental dan emosi.
Pereka dalaman Sepanyol, Patricia Bustos, berpendapat bahawa rumah masa depan adalah tempat perlindungan yang mengutamakan deria dan emosi isi rumah.
Hargai alam sekitar
Trend ketiga, Nature, merujuk kepada reka bentuk yang lebih mesra alam dan berfokus kepada kelestarian.
Reka bentuk yang menghargai alam sekitar semakin penting dalam dunia moden apabila setiap ciptaan harus memberi impak positif kepada dunia, mencerminkan nilai manusia dan alam sekitar.
Menurut arkitek dari Brazil, Joao Armentano, setiap reka bentuk harus memberi manfaat kepada kehidupan manusia dan alam sekitar.
Keseimbangan antara warisan dan inovasi
Trend keempat, Urban, mencabar reka bentuk bandar masa hadapan dengan memberi perhatian kepada keseimbangan antara warisan dan inovasi, serta kesesuaian ruang yang serba boleh.
Pengasas Gustafson Porter + Bowman, Kathryn Gustafson, menyatakan bahawa modulariti ruang dan cara ia digunakan sangat penting untuk kesaksamaan sosial dalam pembangunan bandar masa depan.
Warna, tekstur dan bahan tidak dijangka
Akhir sekali, Wonder membawa reka bentuk yang memfokuskan kepada elemen kejutan dan kekaguman.
Reka bentuk yang memberikan pengalaman luar biasa dengan warna, tekstur, dan bahan yang tidak dijangka akan terus mendapat perhatian, menjadikan reka bentuk lebih menarik serta berfungsi untuk keperluan manusia.
Pereka Tom Faulkner dari UK menggariskan kepentingan mencipta reka bentuk yang tahan terhadap unsur alam semula jadi dan tetap kelihatan cantik dalam jangka masa panjang.
Laporan itu adalah hasil kajian yang melibatkan lebih 200 profesional dari seluruh dunia dan memberikan gambaran menyeluruh mengenai perubahan yang akan mempengaruhi reka bentuk ruang masa depan.
Antara pereka terkenal turut menyumbang pandangan dalam laporan itu:
- Tom Dixon dan Tom Faulkner, United Kingdom (UK)
- Serena Confalonieri, Milan
- Pengasas Gustafson Porter + Bowman, Kathryn Gustafson Fernando Laposse, Mexico
- Regina Sturrock dari Regina Sturrock Design
- Ana Milena Hernandez Palacios dan Cristophe Penasse dari Studio Masquespacio
- Patricia Bustos dari Sepanyol
- Joao Armentano dari Brazil
Dengan kajian melibatkan teknik coolhunting antarabangsa dan wawancara bersama pakar dalam reka bentuk dalaman, seni bina dan pengurusan ruang, laporan itu mencerminkan permintaan dan jangkaan sedang berkembang dalam kalangan pereka dan arkitek global. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram